KDN: Buku 13 Mei tulisan Dr Kua belum diharamkan
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) belum lagi mengharamkan pengedaran buku bertajuk 'May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969' tulisan pengarah Suaram, Dr Kua Kia Song yang memuatkan maklumat terbaru mengenai rusuhan kaum 13 Mei petang tadi.
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) belum lagi mengharamkan pengedaran buku bertajuk 'May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969' tulisan pengarah Suaram, Dr Kua Kia Song yang memuatkan maklumat terbaru mengenai rusuhan kaum 13 Mei petang tadi.
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh mengesahkan hari ini bahawa buku itu belum diharamkan.
Bagaimanapun, Beliau memberitahu malaysiakini , pihaknya masih boleh merampas buku-buku tersebut yang dijual di pasaran.
Che Din berkata, pihaknya mengambil dan mengkaji buku tersebut "sebab sekarang ada orang bising, termasuk di Dewan Negara".
"Kita kena ambil tindakan. Kita akan kaji dulu, kalau buku itu mengancam ketenteraman dan keselamatan awam, kita akan syorkan ianya diharamkan.
"Kami boleh habis mengkaji buku itu dalam masa satu hari, tetapi proses pengharaman memerlukan masa dua atau tiga hari kerana kami perlu membuat laporan dan menghantarnya kepada timbalan menteri dan menteri berkenaan," katanya.
Cuma rampas sahaja
"Selepas menteri tandatangan, ia perlu diwartakan, barulah dikira pengharaman berkuatkuasa," kata Che Din lagi.
Beliau berkata, kandungan buku itu telah "menggemparkan pemikiran orang ramai" dan pihaknya bertindak berdasarkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) untuk merampas buku-buku itu yang dijual di pasaran.
"Tetapi kita tidak akan ambil tindakan lebih daripada itu. Kita hanya cuma boleh rampas sahaja tetapi tidak boleh dakwa mana-mana orang," jelasnya.
Semalam, KDN telah merampas 10 nashkah buku tulisan pengarah Suaram itu dari kedai buku terkemuka MPH di gedung membelibelah di Midvalley.
Mereka juga menasihatkan pihak pengurusan kedai itu supaya jangan menjual buku tersebut kerana ia mungkin diharamkan.
Buku itu merupakan kompilasi pelbagai laporan asing dan laporan sulit pada masa itu yang telah dideklafisikasikan baru-baru ini dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London.
Maklumat terbaru
Tindakan KDN itu dibuat mengikut AMCP yang memperuntukkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran yang memudaratkan kemoralan atau ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.
Pada akhir tahun lalu, Dr Kua membuat kajian selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan diklasifikasi sebagai rahsia.
'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk.
Bagaimanapun, dalam bukunya itu, Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.
Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu yang telah dikompilasikan dalam buku terbaru Dr Kua tersebut, dilancarkan Ahad ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Fu Ah Kiow ketika menjawab soalan di Dewan Negara hari ini berkata, kementeriannya akan mengkaji kandungan buku tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin.

