REE: Kalau haram kata haram, kalau sah sila buktikan - Mahdzir
Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid menggesa menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor berterus terang kepada rakyat berhubung isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Sik.
Kata Mahdzir, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya memberi jawapan tidak tahu-menahu mengenai urusan pentadbiran Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.
Jelasnya, sebarang pelaburan atau penglibatan MBI di dalam sesebuah projek, sentiasa dilaporkan kepada menteri besar.
"Saya fikir tiba masanya untuk MBI bercakap benar dan tidak perlu meletakkan segala-galanya di bawah 'karpet'. Kalau kata projek itu haram, kata sajalah haram dan ada pihak yang bersalah tetapi kalau dikatakan projek itu sah, maka buktikanlah kesahihannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahdzir yang juga calon BN bagi DUN Pedu pada PRN akan datang menggesa Muhammad Sanusi berterus terang mengenai dua warganegara China yang dibawa masuk bekerja dengan syarikat itu dan didakwa terlibat dengan projek berkaitan REE.
"Mengenai dua warganegara China itu, beritahu sajalah berapa lama kontraknya dan adakah kontraknya disambung. Maklumkan juga sama ada mereka masih ada di negara ini atau sudah kembali ke negara asal dan semua maklumat ini hanya diketahui MBI serta pengerusinya.
"Ketika ini Muhammad Sanusi adalah pengerusi MBI dan beliau sepatutnya lebih tahu dari orang lain berkenaan dua warga China itu. Takkanlah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI dan pegawai lain tak beri taklimat kepada beliau?
"Tak sepatutnya beliau cakap tak tahu sebaliknya lebih manis kalau Muhammad Sanusi katakan yang beliau akan periksa dulu perkara itu. Sebagai pengerusi sebuah organisasi besar seperti MBI, beliau sepatutnya tahu mengenai hal ini.

"Dalam hal sebesar REE, takkan syarikat tak beri taklimat kepada menteri besar siapa yang laksana tugas dan jurutera itu datang dari mana? Mestilah diberitahu yang syarikat itu akan beri kontrak kepada mereka dan berapa tahun mereka akan ada di negara ini," katanya.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meminta Muhammad Sanusi menjelaskan sendiri mengenai keberadaan dua warga China yang ditawarkan bekerja dengan MBI dan mempunyai kaitan dengan projek REE berkenaan.
Kedua-dua warga China itu didakwa masuk ke negara ini setelah Muhammad Sanusi menulis surat sokongan kepada bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin.
Muhammad Sanusi bagaimanapun mendakwa dia tidak mengetahui mengenai status dua warganegara China tersebut.
Selain itu, Muhammad Sanusi juga mendakwa dia hanya menjaga pentadbiran negeri dan bukan pentadbiran yang dikendalikan CEO, Ketua Pegawai Kewangan dan berpuluh lagi jawatan dalam perbadanan itu.
Pemimpin PAS itu juga berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Saifuddin kerana membuat "fitnah".
SPRM sedang menyiasat aktiviti perlombongan unsur nadir bumi di Bukit Enggang, Sik, berikutan aduan Umno Kedah, penduduk tempatan dan kumpulan pengkritik Sanusi.
Ia turut menahan seorang pegawai kanan di Menteri Besar Kedah Incorporated serta pengarah syarikat berhubung siasatan itu.
Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Sanusi juga akan dipanggil untuk disoal siasat.
Muhammad Sanusi semalam mengesahkan penahanan salah seorang pembantunya dipercayai berhubung siasatan kes sama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/9e653efc3722a577ff029f0363b405b3.jpg)
