Sekumpulan ahli akar umbi PKR Cabang Kota Bharu hari ini menyatakan bantahan dan kecewa mereka selepas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama diserahkan kepada Amanah bagi berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Mereka mendakwa kerusi tersebut sebelum ini diuar-uarkan akan ditandingi oleh calon PKR dan persiapan rapi termasuk gerak kerja awal sudah dilakukan sejak awal.

Naib Ketua PKR Kota Bharu Nik Rashid Nik Ismail berkata timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi kerana mereka sudah pun memulakan gerak kerja pada awal tahun ini.

“Ia termasuk ceramah-ceramah kelompok, disusuli dengan ceramah besar malah membabitkan pimpinan utama parti yang turun membantu apabila tarikh PRN semakin hampir.

“Kami juga sudah membuka markas jentera melibatkan 12 buah pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Kota Lama.

"Dalam keadaan begitu sudah tentu kami rasa kecewa dan membantah apabila calon daripada PKR akhirnya tidak dicalonkan padahal kami diuar-uarkan sebaliknya," kata Nok Rashid pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Terdahulu Amanah - bagi pihak PH - mengumumkan DUN Kota Lama akan ditandingi calon mereka iaitu Dr Hafidzah Mustakim.

Hafidzah merupakan bekas calon PH bagi kerusi Parlimen Kota Bharu semasa PRU ke-15 (PRU15) lalu dan tewas kepada penyandang, Takiyuddin Hassan.

Masih ada masa

Sementara itu Ketua Wanita PKR Ranting Jalan Kebun Sultan, Rohana Seman, pula berkata dia sudah bertungkus-lumus menggerakkan jentera akar umbi sejak selepas PRU ke-15 lagi.

“Tiba-tiba DUN Kota Lama dapat kepada calon Amanah, sedangkan kerusi Amanah sepatutnya di DUN Tanjong Mas.

“Jadi hari ini saya rasa sangat kecewa, segala usaha yang kami buat dengan berkempen dari awal rasa tidak berbaloi.

“Kami rasa usaha dilakukan sudah hampir berjaya untuk memenangkan DUN Kota Lama, tetapi akhirnya perkara sebegini terjadi. Ia melenyapkan semangat kami serta-merta,” katanya.

Rohana juga menegaskan mereka akan menutup operasi 12 PDM yang dibuka sebelum ini jika keadaan itu tidak diberi perhatian pimpinan tertinggi parti.

Bagi ahli PKR Cabang Kota Bharu Kamaruzaman Mohamad dia menyatakan kerisauan apabila peluang untuk PH merampas kerusi itu semakin menipis.

Katanya, PH boleh meletakkan harapan bahawa DUN Kota Lama adalah satu kerusi yang paling berpotensi untuk menewaskan PAS.

“Apabila keadaan ini berlaku, saya risau peluang tersebut semakin tipis dan kami sangat berharap pucuk pimpinan boleh mempertimbangkan semula.

“Kita masih ada masa sebelum penamaan calon secara rasmi, jadi besarlah harapan kami agar keadaan ini diperbetulkan,” jelasnya.