Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah memfailkan saman terhadap dua pertubuhan media portal berita independen malaysiakini dan Utusan Malaysia milik Umno berhubung dakwaan skandal sogokan balak.

Beliau juga menamakan Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan dan Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia , Datuk Mohd Khalid Mohd serta Utusan Malaysia Online .

Writ saman tersebut difailkan terhadap malaysiakini dan Utusan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam kerana menyiarkan laporan berita berdasarkan kepada laporan awal yang disiarkan oleh akhbar Japan Times .

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Awang Asfia Awang Nassar membuat pengumuman tersebut selepas menerima satu nota dari Taib, mengesahkan saman tersebut telahpun difailkan.

Taib juga memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di Kuching terhadap dua pemimpin pembangkang Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi dan ketua PKR cawangan Stampin, See Chee How kerana mengedarkan risalah yang mengandungi laporan malaysiakini dan Japan Times .

See, seorang peguam, memberitahu malaysiakini, beliau telah menyemak dengan kerani pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuching yang mengesahkan peguam ketua menteri itu telah memfailkan saman tersebut.

Tiada seorang daripada pihak berkenaan, telah menerima writ saman tersebut.

Kenyataan 10 muka

Isnin lalu, Taib memberitahu dewan negeri bahawa beliau juga akan menyaman akhbar Japan Times . Bagaimanapun tidak dapat dipastikan beliau turut menyaman akhbar yang berpejabat di Tokyo itu.

Laporan Japan Times itu, yang dipetik oleh malaysiakini dan Utusan , mendakwa, sogokan sejumlah RM32 juta didakwa telah dibayar oleh sembilan firma perkapalan Jepun yang mengangkut balak ke Jepun, kepada sebuah syarikat berpejabat di Hong Kong yang dikatakan ada kaitan dengan ketua menteri dan keluarganya.

Dalam satu langkah yang dianggap luar biasa, Taib telah mengeluarkan satu kenyataan di persidangan Dewan Undangan Negeri, menafikan sebarang pembabitan dalam skandal tersebut serta mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai bayaran yang dibuat kepada syarikat Regent Star.

Laporan mengenai skandal rasuah itu mula disiarkan oleh Japan Times pada 29 Mac. Ia kemudiannya disiarkan oleh akhbar Asashi Shimbun dan International Herald Tribune edisi Japan serta dipetik oleh malaysiakini .

Menurut laporan tersebut, 'sogokan' jutaan ringgit itu sepanjang tempoh tujuh tahun dibayar kepada sebuah syarikat Hong Kong yang dikatakan ada kaitan dengan Taib yang merupakan ketua menteri paling lama berkhidmat di negara ini dan keluarganya.

Perkara tersebut dikesan oleh pihak berkuasa percukaian Jepun yang menganggap bayaran yang dibuat oleh firma perkapalan tersebut 'tidak sah' kerana ianya tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh agensi Hong Kong berkenaan.

Menurut pihak berkuasa percukaian tersebut, firma-firma perkapalan itu telah cuba menyembunyikannya sebagai 'perbelanjaan perniagaan' bagi mengelak dikenakan cukai.

Akhbar Japan Times melaporkan firma-firma perkapalan itu akan dikenakan bayaran lebih 400 million yen (RM11.6 juta) bagi cukai tunggakan serta hukuman yang berat oleh pihak percukaian tersebut kerana "menyembunyikan" wang itu daripada pengetahuan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, firma perkapalan tersebut telah menolak dakwaan pihak berkuasa percukaian itu dan menegaskan urusniaga dengan Regent Star adalah sah.

Khamis lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap dakwaan tersebut. Berita asal