Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dengan Pahang pun Kelantan dah tak sama liga - Kit Siang
Diterbitkan:  Jul 26, 2023 4:34 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Bukan saja dengan Kuala Lumpur dan Selangor, pembangunan Kelantan malah tidak boleh dibandingkan dengan dengan negeri berpendapatan lebih rendah seperti Pahang dan Negeri Sembilan, kata Lim Kit Siang.

Membidas timbalan menteri besar sementara Kelantan Mohd Amar Abdullah, veteran DAP itu berkata Pahang dan Negeri Sembilan sudah menjadi negeri berpendapatan sederhana walaupun pernah sebaris dengan Kelantan.

“Negeri Sembilan dan Pahang berada bersama-sama Kelantan dalam kategori negeri-negeri berpendapatan rendah ketika negara kita mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957, tetapi dalam enam dekad yang lepas, Negeri Sembilan dan Pahang telah bergerak ke hadapan untuk menjadi negeri berpendapatan sederhana.

“Sedangkan Kelantan terus tersekat dalam kategori negeri termiskin dan paling kurang membangun,” katanya.

Mohd Amar Abdullah

Mohd Amar kelmarin menolak pembangunan Kelantan dibandingkan dengan Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang disifatkannya tidak sama liga.

Sebaliknya tegasnya ia sepatutnya dibandingkan dengan negeri seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

Katanya, Kuala Lumpur maju kerana menjadi ibu negara, Selangor pula dekat dengannya manakala Pulau Pinang sudah pun maju sejak sebelum merdeka.

Naib presiden PAS itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Amanah berkaitan “tujuh kegagalan PAS”.

Dalam kenyataan hari ini, Lim justeru berkata dia bersetuju dengan Exco Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal bahawa Pahang dan Kelantan berada dalam liga berbeza dan tidak boleh dibandingkan.

Kota Bharu, gambar hiasan

Fadzli semalam bagaimanapun tidak selesanya negeri diheret sama dalam pertikaian itu atas alasan setiap negeri mempunyai keunikan masing-masing.

Fadzli yang juga ketua Penerangan Umno Pahang berkata pencapaian Pahang dalam masa terdekat “menceritakan segala-galanya”, antaranya peningkatan pendapatan negeri dan kemasukan pelaburan melebihi RM20 bilion.

Sementara itu, Lim mengakui bahawa perubahan tidak boleh berlaku semalaman.

Bagaimanapun, tambahnya, ia haruslah dimulakan pada hari mengundi bulan depan.

“...satu permulaan perlulah dibuat pada 12 Ogos 2023,” katanya.

Selain Kelantan, pilihan raya negeri akan turut berlangsung di dua lagi negeri PAS iaitu Kedah dan Terengganu serta di negeri Pakatan Harapan (PH), iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS