Cawangan Umno di semua 71 DUN S'wak hujung bulan ini
Jawatankuasa penaja Umno Sarawak yakin dapat menubuhkan cawangan penaja parti itu di semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang akhir bulan ini ekoran sambutan yang menggalakkan.
Jawatankuasa penaja Umno Sarawak yakin dapat menubuhkan cawangan penaja parti itu di semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang akhir bulan ini ekoran sambutan yang menggalakkan.
Sehingga ini, 62 cawangan penaja Umno sudah ditubuhkan di Sarawak, dengan keahlian seramai kira-kira 5,000 sejak ia dilancarkan dua bulan lalu, kata ketua penajanya, Affendi Juman.
Katanya, fokus utama penubuhan Umno Sarawak ialah di kawasan yang dikuasai pembangkang dan di kawasan di mana penduduknya belum menyertai mana-mana parti politik.
"Kami mahu membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak merampas semula kawasan yang kini dimenangi oleh pembangkang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketika ini pembangkang mempunyai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang ahli Parlimen iaitu dari DAP di Sarawak.
Affendi berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakkan dari kaum bumiputera termasuk Iban, Bidayuh dan Melanau. Umno Sarawak tidak menerima orang bukan bumiputera menjadi ahli.
Mac lalu, Affendi menubuhkan jawatankuasa penaja Umno Sarawak dan telah menghantar permohonan kepada ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur supaya melebarkan sayap parti itu ke negeri Bumi Kenyalang itu.
'Umno pusat tahu'
Bagaimanapun, kata Affendi, ibu pejabat Umno belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, Umno Sarawak tidak berdaftar dengan ibu pejabat parti tetapi menjelaskan "semua aktiviti Umno Sarawak diketahui Umno Pusat dan mereka tidak menghalangnya".
"Umno Sarawak bukan mahu menjatuhkan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, tetapi sebagai isyarat kepada pemimpin negeri bahawa rakyat Sarawak mahu Umno masuk ke negeri ini untuk memberi pembelaan yang lebih baik.
"Rakyat tidak menentang kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud yang telah menjadi Ketua Menteri selama 26 tahun tetapi Umno, sebagai parti terbesar negara, boleh membawa pembangunan yang lebih pesat," katanya.
Sarawak kini diperintah oleh BN yang diketuai oleh Parti Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib. Sebelum ini, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abang Abu Bakar Mustaffa pernah berusaha membawa Umno ke Sarawak tetapi tidak berjaya.
Affendi berkata, sehingga ini, Abang Abu Bakar atau mana-mana bekas pemimpin BN tidak menyertai Umno Sarawak tetapi percaya rakyat kebanyakan menyokong kemasukan parti itu ke Sarawak.

