Menteri Besar sementara Selangor, Amirudin Shari percaya Azmin Ali tidak akan membawa kesan dan pengaruh besar dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Katanya, ahli majlis tertinggi Bersatu itu kini hanya menjadi liabilti kepada PN disebabkan prestasinya yang merosot ketika menjadi menteri kabinet sebelum ini.

Amirudin berkata hal itu juga terbukti apabila PN tiada kata sepakat mengenai calon menteri besar daripada gabungan itu di Selangor.

"Ketidakjelasan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pimpinan dan anggota PN menganggap Azmin sebagai liabiliti kepada gabungan disebabkan prestasinya yang mundur sewaktu menjadi menteri dalam kerajaan PN," katanya kepada Malaysiakini.

Amirudin pada suatu ketika pernah dilihat sebagai anak didik Azmin ketika mereka bersama dalam PKR.

Bagaimanapun berlaku pergolakan dalam parti itu menyebabkan Azmin yang ketika itu menyandang jawatan timbalan presiden dan bersama beberapa ahli parlimen lain membuat keputusan keluar parti itu.

Langkah yang dikenali sebagai Langkah Sheraton itu membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Azmin kemudian menyertai Bersatu dan dilantik sebagai menteri dalam kabinet perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Pada PRU15, Amirudin menewaskan Azmin di kerusi parlimen Gombak, yang telah disandangnya selama tiga penggal.

Merujuk kepada kemenangannya di Gombak, Amirudin berkata: "Orang Gombak sudah menganggap beliau (Azmin) sebagai liabiliti. Kini, Perikatan Nasional pun berpendirian begitu".

Pada Mei lalu, Azmin berkata dia tidak berhasrat untuk bertanding PRN di Selangor dengan mendakwa mahu memberi laluan kepada pemimpin muda.

Bagaimanapun, pemimpin Bersatu itu mengubah pendiriannya bulan lepas dengan mengatakan keadaan semasa menyebabkan terdapat keperluan untuk dia bertanding semula.

Bekas menteri besar Selangor itu dinamakan sebagai calon PN di DUN Hulu Kelang yang pertama kali dimenanginya pada 1999 semasa kemuncak gerakan Reformasi.

Di pihak PH pula, DUN Hulu Kelang pernah menjadi kerusi tradisional Amanah, tetapi kini akan ditandingi oleh timbalan ketua Wanita PKR, Juwairiyah Zulkifli.

Semalam, Azmin menafikan tuduhan dia "lari" dari Bukit Antarabangsa, yang pertama kali dimenanginya dalam pilihan raya umum 2008.

Azmin juga berkata dia terpaksa mengubah fikiran daripada bersara kerana Bersatu mahu dia bertanding.

"Parti memberi pendapat bahawa mereka mahu saya bertanding dalam pilihan raya negeri ini, jadi saya akur dengan presiden dan majlis pimpinan parti saya untuk menyertai pilihan raya ini,” katanya.