Bekas Adun Chuah, Michael Yek Diew Ching, berkata dia menghormati keputusan parti setelah tidak diberi peluang mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Yek juga kelihatan bersikap terbuka dengan keputusan tersebut kerana yakin masih mampu menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan untuk penggal kedua jika bertanding sebagai calon bebas.

Pun begitu, dia mahu mengutamakan parti berbanding diri sendiri.

Katanya Yek sudah memaklumkan kepada penyokong dan rakan-rakannya bahawa dia tidak akan bertanding dalam PRN sebagai calon bebas.

"Dalam pertarungan tiga penjuru, saya masih boleh menang tapi untuk apa?

"Apakah tujuan saya menceburi bidang politik? Sekiranya saya kalah - yang saya rasa tidak mungkin - saya tidak akan rugi apa-apa pun.

"Menang atau kalah, yang akan menderita nanti ialah kawasan Chuah dan saya tidak mahu PKR nanti dituduh sebagai penyebabnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yek memenangi kerusi DUN Chuah pada PRU ke-14 kira-kira lima tahun lalu dengan memperoleh 6,661 undi mengalahkan pencabar dari MCA-BN Lim Chin Fui yang mengumpul 3,460 undi.

Pada PRU itu ada seramai 12,083 pengundi berdaftar di DUN Chuah yang majoriti pengundinya adalah Cina, diikuti India dan Melayu.

Bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos ini PKR menggugurkan Yek dan diganti muka baru Yew Boon Lai.

Kata Yek, selepas tidak lagi menjadi Adun dia mengambil keputusan untuk berehat daripada politik.

"Ini adalah politik dan jika parti merasakan saya tidak lagi diperlukan, saya hormati.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat sejak lima tahun lalu.

"Untuk ini saya berterima kasih kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mengambil keputusan meletakkan saya sebagai calon pada 2018 walaupun mendapat bantahan.

"Sekarang adalah masa untuk saya berehat dan memberi peluang kepada orang lain," katanya.