Usaha kerajaan menyediakan persekitaran kondusif bagi kewujudan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik menerusi inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy) dijangka mampu membantu suri rumah terutama ibu tunggal untuk kembali ke sektor pekerjaan.

Inisiatif berkenaan juga dilihat mampu menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga bagi memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska serta pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara. 

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kasih Melaka Banun Mat Lazim berkata suri rumah terutama golongan muda yang baharu kematian suami sering tersepit antara sama ada untuk bekerja ataupun tinggal di rumah menjaga anak.

"Jika mereka memilih untuk tinggal di rumah, mereka tidak akan mempunyai pendapatan tetap sekali gus menyebabkan mereka terpaksa meminta bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan atau pihak berkaitan.

"Namun jika mereka bekerja, yuran pusat jagaan yang mahal juga akan membebankan mereka terutama jika mempunyai anak ramai," katanya kepada Bernama di Melaka hari ini.

Beliau berkata justeru langkah kerajaan memperkenalkan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan meringankan beban golongan itu yang terhimpit selepas kematian ketua keluarga.

"Anak-anak ibu tunggal terbabit akan berada di tempat lebih selamat ketika ibu mereka keluar bekerja untuk menyara keluarga dan ibu tunggal juga akan berasa lebih tenang dengan keadaan ini.

"Ini merupakan satu inisiatif baik yang dilancarkan kerajaan sekarang dalam membantu golongan memerlukan sekali gus meningkatkan kadar penyertaan wanita ke alam pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata sebanyak 18 taska yang beroperasi di negeri tersebut sedang menjalani proses pemutihan bagi melengkapkan kriteria diperlukan untuk beroperasi.

Beliau berkata antara kriteria ditetapkan adalah mematuhi syarat dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Antaranya JBPM, Jabatan Kesihatan negeri dan PBT akan melakukan pemeriksaan menyeluruh terutama membabitkan aspek keselamatan dan kebersihan makanan di premis itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan berkata pertubuhan itu berbesar hati dengan penekanan terhadap aspek Ekonomi Penjagaan dan perlindungan sosial yang akan membantu mengurangkan beban penjagaan yang biasanya dipikul wanita kerana tidak berada dalam tenaga buruh.

"Permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya, kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya autisme semakin meningkat bergitu juga bagi kesihatan mental, sosial peribadi dan perkhidmatan domestik susulan populasi yang semakin menua dan faktor penghijrahan golongan muda,” 

"Perbelanjaan awam untuk penjagaan jangka panjang terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar tidak akan mampan jika beban penjagaan tidak dikongsi bersama-sama dengan sektor bukan kerajaan dan perusahaan swasta," katanya.

Beliau berkata NCWO komited untuk menggalakkan pertumbuhan Ekonomi Penjagaan di seluruh negara yang berpotensi menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan, terutamanya untuk B40, wanita dan belia selain mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan kerja yang keseimbangan dengan hidup serta yang paling penting menarik dan mengekalkan wanita dalam tenaga kerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), antaranya pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan semasa membentangkan inisiatif ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ hari ini.

- Bernama