Hasrat seorang wanita untuk menjadi calon bebas di DUN Kota Lama di Kota Bharu, Kelantan tidak kesampaian selepas pencalonannya ditolak.

Difahamkan pencalonan Tan Lay Tho, 63, ditolak berikutan pencadangnya, Ong Chi Lam, 63, yang juga suaminya merupakan pengundi dari DUN berlainan iaitu DUN Bunut Payung.

Penyokong bagi pencalonan suri rumah itu pula adalah bapa saudaranya, Wee Choon Seng, 85, yang merupakan pengundi DUN Kota Lama.

Untuk rekod setiap calon diwajibkan menampilkan seorang pencadang dan penyokong serta wakil calon dari kawasan yang ditandingi ketika proses penamaan calon.

Pegawai Pengurus DUN Kota Lama, Izzuddin Ab Rashid mengumumkan nama calon DUN Kota Lama pada jam 11.45 pagi di pusat penamaan calon Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima lima kertas penamaan daripada lima calon yang hadir di pusat penamaan calon itu

"Mereka mengemukakan kertas penamaan iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary dari calon bebas, Dr Hafidzah Mustakim (PH), Zamri Ismail (PAS), Tan Boon Kian atau Andy Tan (Parti Rakyat Malaysia) dan Tan Lay Tho (bebas).

"Saya telah menyemak kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati memutuskan ada yang ditolak kertas penamaannya (Tan Lay Tho).

"Dengan ini saya mengumumkan hanya empat calon yang disahkan bertanding dalam PRN ini," katanya ketika mengumumkan nama calon yang sah bertanding.

Sementara itu dua lagi DUN di bawah Parlimen Kota Bharu iaitu Tanjong Mas dan Bunut Payong yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Di Tanjong Mas, penyandang Rohani Ibrahim dari PAS akan disaingi Zinda Khalil dari PH manakala di Bunut Payong, calon baru dari PAS Shaari Mat Yaman akan berdepan Mohamed Hasnan Che Hussin dari BN.