Pertukaran calon saat akhir perkara biasa - Anwar
Pertukaran saat akhir calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah proses biasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH itu berkata pertukaran yang melibatkan calon daripada partinya, PKR semestinya dilakukan selepas melihat terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
“Kita (PH) ada tiga tukar (pada saat akhir), satu di Kota Damansara (Selangor) dan juga di Kelantan dan Terengganu,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas bersarapan di sebuah restoran di Ampang Jaya di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertukaran saat akhir calon PKR di kerusi DUN Kota Damansara yang dimaklumkan Naib Presiden yang juga Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, lewat malam tadi.
Anwar berkata bagi DUN Kota Damansara, pertukaran melibatkan Aidi Amin Yazid yang sebelum ini diumum sebagai calon, digantikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
“Bagi Kota Damansara ini, dia ni (Izuan) Ketua AMK Selangor, dan kita pun (PKR) tak ada calon AMK di Selangor, jadi saya rasa wajar pertimbangkan meletakkan beliau sebagai calon dan saya harap ia disambut baik semua,” katanya.
Selain DUN Damansara di Selangor, PH juga membuat pertukaran calon untuk kerusi DUN Manir, Terengganu pada saat-saat akhir.
Eka Lisut dari PKR, dinamakan sebagai calon baharu DUN Manir menggantikan Mohd Jusoh yang namanya sudah diumumkan pada 22 Julai lalu.
Turut ditukarkan ialah calon bagi DUN Bukit Selambau, Kedah, apabila PH menamakan semula penyandang kerusi itu, R Summugam yang pada awalnya digugurkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/eead7a5d2b0cd69b312f365c95d4abe2.jpg)
