Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baddrol Bakhtiar: Seperti dalam final bola sepak
Diterbitkan:  Jul 29, 2023 4:47 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Bekas ketua pasukan bola sepak Kedah Baddrol Bakhtiar, yang mengambil keputusan untuk terjun ke dunia politik, kelihatan tenang selepas menghantar kertas pencalonannya hari ini.

Mewakili PN di DUN Gurun di Kedah, Baddrol membandingkan pengalaman hari ini dengan bermain dalam perlawanan akhir bola sepak.

Tidak mendedahkan 'manifesto' peribadinya bagi DUN tersebut, dia berkata akan memberikan yang terbaik kepada para pengundi, sama seperti apa yang telah diberikannya dalam dunia bola sepak.

"Seperti mana saya main bola (untuk peminat pasukan Kedah), begitulah yang saya akan buat dalam PRN ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Dia menyifatkan menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebagai idola dan sumber inspirasinya.

"Dia ada perancangan yang luas dan ke hadapan untuk pemuda Kedah dan untuk menaikkan nama negeri ini," katanya lagi.

DUN Gurun disandang Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul. Dia tidak bertanding dalam PRN kali ini dan digantikan anaknya, Firdaus Johari.

Seorang lagi bekas pemain bola sepak yang menjadi calon PN adalah Radhi Mat Din yang kini menjadi pembantu jurulatih untuk pasukan Kedah.

Dia bertanding di DUN Alor Mengkudu dan akan berdepan Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS