Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi optimis pentadbiran negeri di Terengganu dan Kedah akan dapat dikuasai gabungan BN dan PH pada PRN kali ini.

Ahmad Zahid berkata ia kerana Terengganu dan Kedah yang boleh dianggap sebagai 'swing state' dengan pernah bertukar pemerintahan beberapa kali antara BN dan PAS.

"Terengganu adalah negeri yang pernah diperintah begitu lama oleh BN, selepas itu PAS. Insya-Allah akan kembali kepada BN, begitu juga Kedah adalah swing state…ada perubahan kerajaan antara BN dan PAS," katanya.

Selain itu Ahmad Zahid berkata BN-PH juga yakin dapat mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti-parti Komponen Kerajaan Perpaduan Kawasan DUN bagi Parlimen Kota Bharu di Pejabat Umno Kelantan, hari ini.

-Bernama