Pelanggan kurang kerana kenaikan harga, kata peniaga kecil
Para peniaga kecil di sekitar ibu negara mendakwa kenaikan harga barangan menyebabkan mereka kekurangan pelanggan.
Para peniaga kecil di sekitar ibu negara mendakwa kenaikan harga barangan menyebabkan mereka kekurangan pelanggan.
Tinjauan malaysiakini ke atas beberapa peniaga di Bangsar dan Brickfields semalam mendapati mereka terpaksa menaikkan harga jualan berikutan kenaikan kos pengangkutan.
Peniaga juga memberitahu, harga makanan dalam tin seperti susu pekat, susu cair dan sardin sudah naik kerana kenaikan harga logam.
Pemilik Pasar Mini Selvam, G Nagandiran berkata, peniaga tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga barangan kerana pekilang telah menaikkan harga.
"Walaupun kenaikan gaji belum diumumkan tetapi harga barang telah naik dan ini memang akan menyusahkan pengguna," katanya.
Selain itu, kenaikan harga logam juga telah menyebabkan harga makanan dalam tin seperti susu pekat, susu cair, sardin turut mengalami kenaikan.
Pelanggan kurang
Katanya, harga susu pekat yang sebelum ini RM1.95 kini menjadi RM2.20, susu cair RM2 kepada RM2.30 dan sekarang tepung pula dinaikkan sebanyak 15 sen sekilogram.
"Untung kami hanyalah 40 sen hingga 60 sen untuk sesuatu barang, tetapi kalau dinaikkan lebih daripada itu, pelanggan pula akan berkurangan," katanya.
Shafir Abdullah, 26, yang baru lima bulan berniaga, tidak puas hati dengan kenaikan harga kerana ramai pelanggan mengadu tidak berpuas hati.
Bagaimanapun, katanya, sebagai peniaga, beliau harus patuh kepada harga yang ditetapkan kerajaan dan tidak boleh menaikkan harga dengan sesuka hati.
Seorang penjaja kuih, S Mala, 38, berkata bahawa beliau yang menjalankan perniagaan selama setahun, menjual satu kuih dengan harga 30 sen.
Menurutnya, beliau berhasrat untuk menaikkan harga kepada 40 sen tetapi takut kehilangan pelanggan.
Berikutan itu, beliau memilih untuk mengecilkan saiz kuih-muih tetapi ramai pelanggan mengadu saiz semakin lama semakin kecil.
Kecilkan kuih
Mala berkata, beliau takut kehilangan pelanggan kerana beliau juga mengambil tempahan kuih-muih untuk majlis keramaian.
Menurutnya, kenaikan harga merugikan orang yang melakukan perniagaan secara kecil-kecilan.
Katanya, belum ada kenaikan gaji, harga barang telah naik dan ia akan menyusahkan golongan yang berpendapatan rendah dan juga keluarga yang mempunyai ramai anak.
"Sekiranya harga makanan di kantin juga dinaikkan, wang RM1 tidak mencukupi untuk perbelanjaan sekolah untuk seorang anak," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memandang serius perkara ini kerana kenaikkan harga membebankan rakyat..
"Barangan kawalan seperti beras, minyak, gula dan sebagainya juga perlu dikawal. Kalau boleh tiada kenaikan lagi," katanya.

