Kebocoran bumbung Parlimen teruk, kata Samy Vellu
Masalah kebocoron pada bumbung bangunan Parlimen adalah teruk dan memerlukan penyelengaraan segera, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu.
Masalah kebocoron pada bumbung bangunan Parlimen adalah teruk dan memerlukan penyelengaraan segera, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu.
Katanya, masalahnya serius yang memerlukan pembinaan semula semua struktur bumbung dan dipasang dengan alat kalis air dan siling penahan sebagai perlindungan haba.
"Sebagai seorang arkitek dari segi kelulusan, saya percaya keadaan yang sedia ada sekarang teruk. Kita mesti pecah semua struktur yang ada dan bina semula dengan alat kalis air," katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum itu beliau meninjau keadaan bumbung serta kesan kebocoran pada siling berhampiran galeri Dewan Rakyat dan Dewan Negara bangunan itu, demikian menurut laporan Bernama.
Katanya, terdapat lima tempat yang bocor dan sekiranya langkah segera tidak diambil, keadaan akan menjadi lebih teruk dan kebocoran mungkin berlaku di 10 atau 15 tempat lagi.
Selain itu, katanya, terdapat terlalu banyak sampah di atas bumbung serta paip sehingga menyebabkan pengaliran air tersekat.
Samy Vellu bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak sunggguhpun kerja-kerja penyelengaraan dilakukan oleh Jabatan Parlimen kerana katanya yang penting sekarang ialah membaik pulih bangunan bersejarah itu dan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
Pasang alat kalis air
Menurutnya, ketika kerja-kerja membaik pulih dan pengubahsuaian ruang dalaman bangunan Parlimen yang menelan belanja RM90 juta pada 2005, soal pemasangan alat kalis air pada bumbung tidak termasuk dalam kontrak.
Justeru, katanya beberapa orang arkitek serta pengarah penyelengaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas masalah kebocoran di bangunan Parlimen.
Beliau berkata, kertas kerja mengenai kerja-kerja penyelengaraan serta kos yang terpaksa ditanggung akan disiapkan untuk dikemukakan kepada jemaah menteri dalam tempoh tiga hari.
"Saya juga arahkan mereka supaya jangan tinggal satu perkara pun bagi menentukan kerja-kerja penyelenggaraan dibuat secara menyeluruh dan saya mahu supaya selepas ini tidak akan berlaku lagi kebocoran untuk tempoh 20 atau 30 tahun akan datang," katanya.
Mengulas lanjut, Samy Vellu berkata rekabentuk lama bangunan Parlimen yang mempunyai bongkah konkrit yang bertindih antara satu sama lain sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa manakala paip plastik yang digunakan perlu digantikan dengan paip keluli kelas A.
Ditanya mengenai perbelanjaan bagi kerja penyelenggaraan itu, Samy Vellu berkata apa yang pasti kerja-kerja penyelenggraan itu akan memakan belanja yang besar.
Pada 9 Mei lepas sekurang-kurangnya enam kebocoran di siling sehingga mengalirkan air dikesan di bangunan Parlimen termasuk berhampiran Pusat Media.

