Calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pasir Besar-Palong pada awal pagi tadi.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menerusi catatan di akaun Facebook memaklumkan kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 3.25 pagi.

“Pemandu agak kritikal, mohon semua dapat doakan agar kedua-duanya kembali sembuh dengan sempurna dan diangkat segala kesakitan,” katanya.

Difahamkan, Mohd Zaidy kini berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Mohd Zaidy akan bertanding menentang calon PN, S Surash pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

- Bernama