Mahkamah Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada R. Subashini untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak injunksi yang diperolehinya bagi menghalang suaminya daripada menuntut pembubaran perkahwinan mereka dan hak penjagaan anaknya di Mahkamah Syariah.

Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad, yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul dan Hakim Datuk Abdul Aziz Mohamad, membenarkan permohonan itu dengan keputusan sebulat suara.

Bagaimanapun, panel hakim menambah satu persoalan untuk peguam Subashini berhujah dalam rayuan nanti, demikian menurut laporan Bernama.

Persoalan itu sama ada dalam permohonan untuk injunksi sementara, mahkamah boleh membuat penentuan akhir mengenai isu-isu undang-undang khususnya di mana ia merujuk kepada persoalan bidang kuasa berbanding pertimbangan kepada hanya wujudnya sesuatu isu serius undang-undang untuk ditentukan.

Hakim Abdul Hamid berkata jika mahkamah dalam keputusannya mengakui persoalan itu maka sembilan persoalan yang dipohon oleh Subashini akan menyusul.

Jika mahkamah tidak bersetuju dengan persoalan itu, rayuan Subashini akan hanya menumpukan kepada sebuah permohonan injunksi sahaja.

Hak penjagaan anak

Hakim Abdul Hamid juga membenarkan permohonan Subashini untuk melanjutkan injunksi sementara yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan bagi menghalang suaminya T. Saravanan, 31, daripada membubarkan perkahwinan mereka dan hak penjagaan anak mereka di Mahkamah Syariah, sehingga rayuan surirumah itu selesai.

Subashini, 28, meminta Mahkamah Persekutuan menentukan sembilan persoalan undang-undang termasuk sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan penceraian sivil jika membabitkan seorang daripada pasangan itu telah memeluk Islam.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah injunksi exparte untuk menghalang Saravanan, yang memeluk Islam, daripada meneruskan prosiding di Mahkamah Syariah berkaitan pembubaran perkahwinan mereka dan mengislamkan anak kedua mereka.

Subashini memperoleh injunksi sementara dari Mahkamah Rayuan menghalang Saravanan daripada memula atau meneruskan sebarang prosiding di Mahkamah Syariah atau mengislamkan anak keduanya sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran untuk merayu.

Pasangan itu mempunyai dua orang anak, Dharvin Joshua, 3, dan Sharvin, setahun. Saravanan, yang nama Islamnya Muhammad Shafi Abdullah, mendakwa anak sulung mereka telah memeluk Islam bersamanya pada Mei tahun lalu.

Subashini diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar manakala Saravanan pula oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.