‘Saya tidak simpati pada orang ingkar kuasa raja-raja’
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam tindakan individu tertentu yang menggunakan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang disunting bagi tujuan politik.
Katanya, dia tidak akan bersimpati dengan mana-mana pihak yang tidak menghormati institusi diraja.
"Kita ada Perlembagaan (yang) kita patuh, jangan buat pasal...
“Saya tidak simpati pada orang yang cuba mengingkari kuasa raja-raja," katanya berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan di Kuala Pilah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mereka yang tidak berpuas hati boleh membidasnya tetapi mereka tidak boleh menyentuh tentang Raja-raja Melayu.
“Kamu boleh maki hamun perdana menteri hari-hari, sepuas hati kamu… itu hak kamu.
“Saya tidak ambil tindakan melainkan kalau fitnah itu terlalu berat, sebaik sahaja kamu sentuh raja, memang kamu cari penyakit dan malapetaka,” katanya.
Semalam, menerusi satu kenyataan, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Mohd Zahidi Zainuddin berkata pihaknya membuat laporan polis Sabtu lalu berhubung tindakan seorang wanita yang memuat naik satu klip video yang memberi gambaran seolah-olah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, adalah penyokong PAS.
Katanya, perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika, malah secara tidak langsung mencemarkan nama baik baginda selaku sultan yang memerintah negeri Perak.
Katanya, cara klip video itu diolah telah mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.
“Ditegaskan bahawa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak, dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik,” katanya.

Mohd Zahidi video yang ditularkan itu merupakan petikan sebahagian kecil titah Sultan Nazrin (ketika itu Pemangku Raja Perak) di Majlis Wacana Perpaduan Ummah bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 19 Feb 2013.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan itu dipercayai bertujuan mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos 2023.
Mohd Zahidi seterusnya menjelaskan titah baginda itu sarat menghuraikan sejarah antara PAS dan Umno selain peringatan kepada kedua-dua parti untuk mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik yang berbeza.
“Titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan. Bahagian yang memuji PAS hanyalah petikan pendek, begitu juga pujian terhadap Umno.

“Baginda memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu itu dan turut menzahirkan peringatan agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara.
“Oleh itu tidak timbul bahawa Baginda hanya memandang tinggi kepada PAS,” katanya.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri juga mengesahkan menerima 20 laporan berhubung penularan video yang dimanipulasi pihak tertentu bagi tujuan meraih sokongan politik.
Siasatan berhubung kes ini, katanya telah dirujuk kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/cc55101e7085ef4bbe73e58492dc5c3e.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/3e64f5df955be3ce68f0f0edb728ca76.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/111846560551efb9561d0e4ecb804347.jpg)