Penduduk Petaling Jaya akan meneruskan semakan kehakiman berhubung dakwaan pihak berkuasa enggan menyerahkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan dokumen lain berkaitan projek Lebuh Raya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) yang kini telah dibatalkan.

Presiden Persatuan PJ Mampan, T Chakaravathi berkata walaupun kumpulan itu menyambut baik pembatalan projek itu, namun dokumen dan semua yang berkaitan dengan pembangunan berskala besar yang serupa pada masa hadapan perlu didedahkan.

“Memandangkan Perjanjian Konsesi yang ditandatangani oleh kerajaan persekutuan dan penilaian impak alam sekitar masih belum didedahkan kepada umum, permohonan semakan kehakiman untuk dokumen ini akan diteruskan.

“Orang ramai masih dialu-alukan untuk menyumbang kepada masyarakat bagi menyokong usaha ini dan memastikan PJ yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada penduduk untuk memulakan semakan kehakiman, dengan tarikh berasingan ditetapkan untuk mendengar hujahan lisan pihak terbabit berhubung merit tindakan undang-undang tersebut.

Terdahulu pada 7 Jun, empat penduduk Petaling Jaya memfailkan tindakan undang-undang dengan menamakan empat responden - Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), pengarah PlanMalaysia Selangor, kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan berhubung dakwaan kegagalan pihak berkuasa mematuhi ultimatum selama tujuh hari untuk menyerahkan dokumen projek tersebut.

Chakaravathi berkata, meskipun persatuan itu menyambut bak pembatalan projek itu seperti yang diumumkan menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari, Petaling Jaya masih menghadapi risiko pembangunan serupa pada masa depan, disebabkan sistem dan struktur yang tidak memadai untuk memastikan pembangunan lestari.

[Baca berita penuh]