Dihalau sertai ceramah PN - Dominic maafkan PAS
Presiden Gerakan Dominic Lau menerima permohonan maaf daripada PAS dan menggesa sekutu Perikatan Nasional (PN) itu untuk mengetepikan rungutan peribadi serta bekerjasama sepanjang baki kempen sebelum pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.
Bercakap kepada pemberita di Kampung Binjai, Pulau Pinang hari ini, Lau berkata permohonan maaf oleh pimpinan PAS amat dihargainya.
“Kita boleh menyelesaikan masalah secara dalaman. Sudah tentu kami amat berterima kasih kepada PAS kerana (secara terbuka) memohon maaf dan kami menerimanya.

“(Melangkah ke hadapan) kita mesti ketepikan sebarang dendam dan fokus pada kempen. Tinggal tujuh hari sahaja lagi.
"Mari kita bekerja keras menyampaikan mesej kepada orang ramai dan menanam keyakinan kepada PN supaya kita boleh menang pada 12 Ogos," katanya.
Pada Rabu, 1 Ogos, Lau bukan sahaja tidak diundang menyertai program Ceramah Mega PN Best yang disertai Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, tetapi diminta meninggalkan program itu di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Malah, Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim sendiri 'menghalau' Lau dari situ atas alasan dia tidak diundang meskipun ditemani Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Di sebalik apa yang berlaku, Lau meredakan keadaan dengan menganggap dia sebenarnya tidak dihalau oleh PAS negeri terbabit sebaliknya hanya kesilapan teknikal apabila dia mahu bertemu serta berbincang dengan Hadi.
Lewat malam tadi, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada Lau bagi pihak kepimpinan parti dan menggesa ahli parti supaya menerima pencalonan Lau untuk DUN Bayan Lepas.
Takiyuddin turut menggesa ahli parti supaya tidak mencabar kebijaksanaan Hadi.

Lau ditemui pemberita pagi ini ketika berkempen di perkampungan Melayu. Dia mendakwa aktivis dari Bersatu, PAS, malah Umno turut membantunya dalam kempen itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/f23ad94fec03aadaf6028db4b47db4cb.jpg)
