Rakyat Selangor dikatakan masih ingat bagaimana Langkah Sheraton dimulakan oleh beberapa bekas pemimpin PKR dan Bersatu yang membawa tumbangkan kerajaan PH.

Ketua Pemuda PH Selangor Danial Al-Rashid Haron berkata disebabkan kenangan buruk itulah pengundi sudah sedia menghukum individu yang terlibat dalam Langkah Sheraton dan kini bertanding sebagai calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.

"Rakyat masih lagi trauma, masih lagi memikirkan kenapa kerajaan pusat yang mendapat mandat dan sepatutnya mentadbir lima tahun boleh betukar perdana menteri sebanyak tiga kali," katanya.

Semasa berkempen di lapangan, kata Danial, orang ramai masih bertanya dan membincangkan Langkah Sheraton dan bagaimana ia banyak menjejaskan kehidupan mereka.

Pengundi juga katanya agak skeptikal dan tertanya-tanya jika pilihan mereka nanti akan 'dikhianati' sekali lagi oleh calon tertentu.

"Justeru kebanyakan pengundi memberitahu mereka kini bersedia menghukum individu-individu yang terlibat dalam Langkah Sheraton dan kini bertanding di Selangor," katanya kepada Malaysiakini.

Danial merupakan calon PH untuk DUN Batu Tiga. Pada PRN 12 Ogos ini dia menghadapi cabaran daripada dua lagi calon iaitu Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun; dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen (Muda).

Ada apa Selangor Baru

Rina memenangi kerusi parlimen Titiwangsa sebagai calon Bersatu pada 2018 dan dilantik menjadi menteri oleh Muhyiddin Yassin apabila ahli parlimen Pagoh itu menjadi perdana menteri ekoran Langkah Sheraton.

Semasa PRU ke-15 pada tahun lalu Rina meninggalkan Titiwangsa untuk bertanding di Sepang. Bagaimanapun dia kalah kepada calon PH, Aiman Athirah Sabu, dengan perbezaan hampir 9,000 undi.

Untuk rekod Selain Rina, individu yang lain yang terlibat dalam Langkah Sheraton dan bertanding untuk PRN Selangor ialah bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali di Hulu Kelang, setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan bekas Adun Seberang Jaya Dr Afifi Bahardin (Taman Medan).

Rina Harun

Langkah Sheraton merujuk kepada kumpulan 11 anggota parlimen - diketuai Azmin - yang meninggalkan PKR bersama-sama parti Bersatu untuk bergabung dengan BN, PAS, GPS dan parti Sabah pada Feb 2020.

Ia menyaksikan kerajaan PH dijatuhkan di luar pilihan raya.

Danial juga berkata bahawa dia keliru dengan slogan yang digunakan PN untuk cuba menarik sokongan pengundi iaitu 'Selangor Baru.

"Saya tertanya apa itu Selangor Baru? Apa kamu nak buat? Baru itu, adakah kamu tukar daripada apa yang sedia ada?

"Kalau tema Selangor Baru dibawa oleh PN itu untuk menggantikan imej Selangor menjadi Kedah atau Kelantan, saya rasa lupakan saja impian mahu tawan Selangor.

"Rakyat Selangor tahu membuat penilaian dan perbandingan, soal air di Kelantan sudah cukup memberi gambaran prestasi PN," katanya.

Gambar fail

Sementara itu ketika ditanya cabaran daripada Rina, Danial berkata gelombang bekas Adun Batu Tiga sebelum ini, Rodziah Ismail adalah lebih besar berbanding wakil PN berkenaan.

"Saya tak boleh nafikan perkara itu, dia (Rodziah) telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi di Batu Tiga.

"Justeru bagi pihak saya, ia perlu diteruskan dan prestasi cemerlang Rodziah sebelum ini memang menjadi tamparan kepada PN dan Muda," katanya.

Pada masa sama dakwa Danial pengundi melihat mereka perlu "bermula dari kosong" jika memilih calon PN atau Muda.

"Tapi, saya telah pernah bersama Khalid Samad (ahli parlimen Shah Alam) pada 2008 dan kita tahu hal ehwal rakyat di sini.

"Saya hanya perlu meneruskan yang apa yang dilaksanakan oleh Rodziah," katanya.

Rodziah merupakan penyandang DUN Batu Tiga dari 2008 namun tidak bertanding kali ini selepas memenangi kerusi parlimen Ampang pada PRU ke-15 lalu.

Batu Tiga salah satu daripada dua DUN di bawah kawasan parlimen Shah Alam dan mempunyai 75,486 pengundi berdaftar.