Mewajibkan menteri besar dan barisan exco mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua tahun dilihat antara tawaran yang mampu menarik sokongan pengundi kepada BN-PH di Kedah.

Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid, berkata ahli dewan undangan negeri (Adun) di negeri itu juga perlu berbuat demikian jika gabungan membabitkan parti dalam kerajaan perpaduan berjaya membentuk kerajaan selepas 12 Ogos nanti.

"Semua Adun termasuk menteri besar dan exco diwajibkan mengisytihar harta kepada SPRM setiap dua tahun.

“Kami juga akan menubuhkan lebih ramai anggota jawatankuasa pilihan khas di peringkat DUN, selain memastikan exco kerajaan negeri dibarisi oleh sekurang-kurangnya dua wakil anak muda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir yang juga bekas menteri besar Kedah menjelaskan generasi muda yang berdaya saing akan mendapat tempat cukup istimewa dalam kerajaan perpaduan Kedah Madani.

BN-PH membentuk kerjasama di bawah kerajaan perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini dan mengeluarkan manifesto bersama untuk menarik sokongan sekali gus mengalahkan PN.

Secara keseluruhan DUN Kedah memiliki 36 kerusi dan BN bertanding di 12 daripadanya. Baki kerusi lain dibahagikan dalam kalangan parti komponen PH.

Mahdzir berkata kerajaan perpaduan Kedah Madani turut menawarkan rangka pengurusan ekonomi secara dinamik berdasarkan asas pertanian sedia ada, sumber tenaga terlatih dan sumber semula jadi untuk pembangunan ekonomi negeri yang lebih progresif serta berdaya saing.

“Bagi memastikan ketelusan ini sentiasa diutamakan, ketua pembangkang akan dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Kedah.

“Jentera pentadbiran negeri juga akan menyusun dan memperkemaskan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar lebih kompeten dan berdaya saing,” katanya lagi.

Bagi segmen anak muda, Mahdzir berkata, BN-PH akan memperkenalkan Program Perumahan Sewa-Untuk-Miliki (Rent-to-Own) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).