Mudahkan pekerja mengundi, MTUC gesa 12 Ogos diisytihar cuti khas
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar hari mengundi pada 12 Ogos ini diisytihar sebagai cuti khas bagi memudahkan para pekerja menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata MTUC menerima rungutan daripada pekerja yang ada majikan memberikan masa dua jam untuk pekerja mengundi dan akan dikenakan tindakan jika mereka keluar melebihi tempoh itu.
"Arahan ini menimbulkan kerisauan kepada pekerja dan boleh menjejaskan kehadiran pekerja untuk mengundi.
"MTUC mencadangkan agar hari pengundian pada 12 Ogos dijadikan cuti khas untuk memberi peluang kepada pekerja untuk mengundi.
"Kerajaan disaran untuk meneliti permintaan ini untuk memberi keselesaan kepada pekerja yang pulang ke kampung halaman bagi menjalankan tanggungjawab kepada negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kamarul Baharin menggesa agar majikan memberikan kerjasama kepada pekerja untuk menjalankan hak demokrasi mereka, bukannya menetapkan syarat tertentu.
"Keterlibatan pekerja dalam pengundian akan mencorak masa depan negara. Pekerja akan memilih wakil rakyat dan menyuarakan pandangan mereka melalui peti undi.
"MTUC berharap pekerja menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak tergesa-gesa bagi mengelakkan kemalangan semasa pergi dan balik daripada tempat kerja ke tempat pengundian," katanya lagi.MT
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/08/cccf1d1334db5a2d3f214b8899fc2ac1.jpg)
