Naib presiden PKR Saraswathy Kandasamy menafikan tanggapan bahawa kerajaan hari ini mensisihkan masyarakat India di negara ini.

Sebaliknya, timbalan menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu meminta masyarakat India agar tidak melepaskan pelbagai peluang yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“PN (Perikatan Nasional) yang kini kekeringan idea dalam meraih pengundi India, menggunakan strategi baru meminta pengundi India boikot PRN ini. Ini kononnya pembangkang mendakwa kaum India disisihkan oleh kerajaan persekutuan.

"Tuduhan ini cuma politik murahan pembangkang untuk mengelirukan pengundi India daripada mengundi PH-BN pada PRN akan datang. Saya menafikan dakwaan bahawa masyarakat India telah disisihkan dalam pembangunan negara.

"Saya percaya sokongan pengundi India kepada perdana menteri masih kuat. Malah, saya ramal sokongan masyarakat India akan bertambah kepada PH-BN pada PRN ini," katanya di sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran, calon DUN Sentosa Gunaraj George dan Ahli Dewan Negara Isaiah Jacob.

Menurut Saraswathy, kerajaan hari ini tidak melupakan sumbangan masyarakat India dalam memberikan kemenangan kepada gabungan PH dalam menubuhkan kerajaan persekutuan.

Dia turut menyenaraikan beberapa inisiatif kerajaan kepada masyarakat India selepas perdana menteri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan persekutuan pada November 2022.

"Antaranya, dana RM2 juta untuk mengajar bahasa Tamil sebagai bahasa tambahan di sekolah menengah, peruntukan tambahan RM2 juta untuk Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya, RM2 juta lagi mencungkil bakat muda dalam sukan kabaddi dan silambam di peringkat sekolah.

"Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan 'gurukulam' (asrama sementara) kepada murid India. 'Gurukulam' ini akan bertindak sebagai tempat penginapan sementara selepas waktu sekolah kepada murid-murid India yang akan diberikan makanan dan kelas tambahan,” katanya.

Saraswathy juga berkata bahawa kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa tindakan untuk mengenal pasti peluang dan inisiatif yang terdapat dalam semua kementerian yang boleh memberi manfaat kepada kaum India.

"Selain itu, satu pelan tindakan telah dimulakan untuk membasmi kemiskinan kaum India di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang mempunyai peruntukan RM750 juta secara keseluruhan.

"Peruntukan khas juga disediakan kepada masyarakat India yang menceburi perniagaan di bawah Tekun, Spum dan agensi-agensi lain," katanya.