Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohamed Azmin Ali mendakwa ada satu ketika, rakan sejawatannya dari PKR, Amirudin Shari tidak setia kepada presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bercakap pada program bual bicara Keluar Sekejap yang diterbitkan semalam, Azmin berkata demikian ketika ditanya sama ada dia berharap Amirudin akan menerajui pertukaran kerajaan di Selangor selepas "Langkah Sheraton".

“Dia terlibat dalam perbincangan... dia bersama-sama dalam perbincangan, jauh sebelum Langkah Sheraton.

“Sudah tentu dia tidak pro kepada Anwar kerana dia tahu siapa yang lantik dia sebagai menteri besar,” kata Azmin.

Dia ketika itu dicelah dan tidak sempat menjawab soalan seterusnya dan sebaliknya beralih kepada jawapan tentang bagaimana Amirudin diangkat sebagai menteri besar Selangor.

“Saya mencadangkan kepada Tuanku (Sultan Selangor) untuk mempertimbangkan saudara Amir sebagai MB (pada 2018), alhamdulilah diperkenankan.

“Saya gembira dan saya berharap dia boleh teruskan kerjanya yang baik sebagai anak muda ada wawasan dan cita-cita yang baru.

“Saya juga memanggil beliau, (beritahunya) sebagai seorang MB, kalau kamu tidak ada asas politik, mereka akan kacau. Maka saya bagi dia jawatan ketua PKR bahagian Gombak dan juga pengerusi PKR Selangor.

“Saya beri tiga tiga jawatan utama on a silver plate, serentak. supaya kedudukan dia kuat dan stabil untuk mentadbir negeri Selangor,” kata Azmin.

Amirudin dilantik sebagai menteri besar pada usia 38 tahun selepas Azmin berundur daripada jawatan itu untuk menjadi anggota kabinet Dr Mahathir Mohamad pada 2018.

Sebelum meninggalkan PKR pada 2020, Azmin yang mengetuai kumpulan, yang dilabel sebagai "kartel" oleh pengkritik mereka, yang memegang pelbagai jawatan penting dalam parti dan dalam kerajaan.

Label kartel yang dikaitkan dengan Amirudin akhirnya gugur semasa pilihan raya parlimen 2022, yang menyaksikan dia menumbangkan Azmin sebagai ahli parlimen tiga penggal di Gombak.

Sementara itu, Azmin mendakwa dirinya hadir ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin dalam membuat beberapa tuntutan sebagai balasan untuk mendapatkan sokongan mereka.

Azmin berkata dia menyatakan perkara ini dalam afidavitnya yang dikemukakan dalam saman yang dikemukakan oleh Zahid terhadap Muhyiddin. Saman itu akan dibicarakan pada Oktober.

“Prinsip yg diambil oleh Muhyiddin ialah beliau tidak boleh mencampuri mana-mana kes yang sedang dibicarakan dalam mahkamah.... apabila lihat seorang PM, yang ada margin kecil, bila-bila masa dia boleh jatuh tapi dia tetap pertahan dan tidak kompromi atas desakan presiden Umno ketika itu.

“Ini saya nak tekankan, beza Anwar dengan Muhyiddin, padahal Muhyiddin ada margin yang kecil. Dia berkerja dengan Umno, tetapi mereka yang bermasalah tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan (dalam kabinetnya),” kata Azmin.

Zahid kini adalah timbalan perdana menteri dalam kabinet Anwar.

Mengulas lanjut, Azmin berkata di Singapura baru-baru ini, menteri kabinet S Iswaran tidak dibenarkan menjalankan tugasnya semasa disiasat oleh pihak berkuasa.

"Di Malaysia, kita berbeza. Mahkamah memutuskan ada kes prima facie (terhadap Zahid), namun dia adalah timbalan perdana menteri.

"Ini menyebabkan defisit amanah yang semakin meluas dalam negara," kata Azmin.