Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sekali lagi mendakwa bahawa keputusan dalam enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan pusat dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Berucap pada Ceramah Mega PRN15 di Markas PAS Kampung Bukit Kecil Langkap, di Setiu, malam tadi, katanya, ini berasaskan sokongan daripada ahli parlimen parti gabungan kerajaan perpaduan termasuk dari Sabah dan Sarawak yang sanggup menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, mereka itu dalam gabungan Pakatan Harapan-BN hanya menunggu masa yang sesuai.

"Asal (ada) 10 ahli Parlimen Umno nak sokong kita, mungkin 15 (Ahli Parlimen) tapi mereka ini dipaksa, diugut yang ada kes nak bawa ke mahkamah menyebabkan orang Umno ini dalam ketakutan.

"Maka ditubuhkan Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kacau-bilau, Kerajaan Perpaduan tapi berbalah sama sendiri, yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, pembentukan kerajaan pusat baru itu penting untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, dengan mana kemenangan PN pada PRN kali ini perlu bagi membolehkan perubahan tersebut dilakukan.

"Ini tujuan politik yang sangat besar untuk selamatkan agama, bangsa dan negara kita (agar) terus dipelihara oleh Islam…

“Ini sangat penting, ini bukan kerja main-main, bukan kerja jual beli, bayar duit (tetapi) tanggungjawab yang sangat besar," katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan akan terus memerintah negara ini walaupun PN sibuk mendakwa perubahan tampuk pentadbiran akan berubah pada bulan ini.

Justeru, dia mengingatkan semua petugas PAS untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan PN.

"Sebab itu saya harap petugas-petugas PAS ini bekerjasama, sama ada di tempat PAS bertanding (atau) Bersatu bertanding untuk memenangkan PN,” katanya.