Umno akan kehilangan kedudukan sebagai parti utama dalam politik tanah air sekiranya meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang, kata bekas pemimpin parti itu Shahidan Kassim.

Demikian kata Pengerusi PN Perlis itu, ketika ditanya berhubung kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan terus bersama PH.

"Kita ingatkan ini perkahwinan sementara (kerjasama PH-BN). Tapi, kita nampak dia nak bekerja terus sehingga PRU akan datang.

"Ini bermakna Umno bukan lagi parti keramat. Umno mungkin dah jadi parti nombor dua atau tiga.

"Sebab sekarang ini kedudukan parti dalam kerajaan, DAP mempunyai 49 ahli parlimen, PKR (31), BN (30), Umno jadi nombor.

"Kalau kamu terus bekerjasama masa PRU akan datang, bererti Umno bukan lagi parti utama atau parti keramat," katanya kepada pemberita di Labu, Negeri Sembilan, malam tadi.

Terdahulu, berucap di hadapan lebih 150 hadirin di Tiroi DUN Labu, Shahidan meminta ahli-ahli Umno menyokong calon PN dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

"Ini strategik masa PRU15, di Perlis. Saya seorang sahaja keluar dari Umno masuk PN. Kawan-kawan saya masih bersama Umno. Tapi, lebih 80% sokong PN di Perlis.

"Saya nak ahli Umno di seluruh negara sokong calon-calon PN pada PRN ini supaya kita menang besar.

"Dulu, Umno kata 'No Anwar, No DAP' sekarang 'Yes Anwar, Love DAP' apa ini? Presiden (Zahid) ini beban kepada parti," katanya.

Malah, Shahidan berpendapat bahawa Zahid  kini bukan hanya dilihat sebagai beban kepada Umno, tapi PH.

"Seluruh dunia kini mengutuk Anwar kerana timbalannya itu adalah individu yang terlibat dengan kes rasuah," katanya.

Keputusan menolak DAP dan Anwar dibuat oleh Umno di perhimpunan agungnya pada Mac 2021. 

Bagaimanapun, Shahidan tidak menyebut bahawa terdapat juga keputusan “No Bersatu” dibuat sama.

Umno membentuk kerajaan bersama PH atas alasan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong supaya dibentuk kerajaan perpaduan.