Ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengakui tindakan P Ramasamy keluar DAP boleh memberikan kesan negatif kepada parti itu.

Chow bagaimanapun menggesa pengundi untuk “mengetepikan rasa tidak puas hati”.

“Ramasamy jadi Adun Seberang Perai selama tiga penggal, dia ada jaringan dan penyokong. Pihak yang simpati dengannya mungkin tunjukkan rasa tidak gembira (dalam pilihan raya).

“Terdapat kemungkinan pengundi akan tunjukkan rasa tidak puas hati.

“Kalau pun terdapat rasa tidak gembira, pengundi mesti laksanakan tanggungjawab mereka. Ketepikan rasa tidak puas hati,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang tengah hari ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata Ramasamy berasa kecewa dengan cara dia dimaklumkan mengenai langkah parti berkenaan menggugurkannya sebagai calon.

“Ramasamy banyak kali beritahu saya bahawa dia boleh terima keputusan tidak dipilih sebagai calon (dalam PRN Pulau Pinang), tetapi proses (pengguguran itu) adalah sebab dia tidak berpuas hati.

“Nampaknya cadangan jawatankuasa negeri tidak dipertimbangkan dan juga bagi ahli-ahli yang tidak dicalonkan semula tidak dimaklumkan dengan lebih awal," katanya.

Chow menjelaskan bekas ahli akademik tersebut boleh menerima jika DAP menganggap dia tidak lagi sesuai dicalonkan dalam pilihan raya negeri kali ini.

Cuma, kata Chow, Ramasamy mahu berita pengguguran tersebut disampaikan dengan cara lebih baik.

"Ini bukan kali pertama berlaku, selalu terjadi penyandang sesebuah kerusi dimaklumkan pengguguran tersebut pada saat-saat akhir," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan mendapatkan penjelasan daripada Ramasamy berhubung peletakan jawatan berkenaan.

Menyifatkan Ramasamy sebagai "sahabat", Anwar juga berharap dia akan terus menyokong kerajaan campuran PH-BN.

“Dia ada beberapa masalah khusus dengan parti.

"Jadi saya harap dia mungkin (boleh) main peranan yang positif untuk bantu membantu kerajaan,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.