Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abe Mat Jelira yakin pengundi Kok Lanas mahu anak tempatan

Di hari terakhir tempoh berkempen calon BN dewan undangan negeri (DUN) Kok Lanas Ahmad Deraman, meletakkan keyakinan bahawa sentimen anak tempatan memberi kelebihan kepadanya berbanding calon lawan daripada Perikatan Nasional (PN).

Lebih dikenali dengan panggilan Abe Mat Jelira, usahawan berusia 56 tahun itu berkata, respons daripada pengundi juga didapati mahu memastikan DUN Kok Lanas kekal selari dengan kerajaan persekutuan.

“Alhamdulillah berbanding pihak lawan yang berasal dari Kota Bharu dan dianggap calon luar, saya merasakan kelebihan memihak kepada saya yang sentiasa ada dan sudah sebati di Kok Lanas.

“Selain itu rakyat boleh melihat sendiri pembangunan dan kemudahan yang tumbuh di kawasan ini jauh lebih baik berbanding kawasan sekitar yang tidak mendapat sentuhan wakil rakyat yang selari dengan kerajaan pusat.

“Di Kok Lanas banyak pembangunan berjaya dibawa oleh wakil rakyat sebelum ini misalnya pusat pengajian tinggi, infrastruktur awam sekali gus merancakkan sektor ekonomi setempat.

“Jika dibandingkan dengan DUN lain seperti Kadok, Melor, Pulai Chondong dan Selising, jauh lebih banyak kemudahan di Kok Lanas.

"Ini pentingnya seseorang wakil rakyat perlu selari dengan kerajaan pusat,” katanya pada sidang media ketika hadir berkempen dalam satu program bersama warga pendidik di Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

Untuk rekod Ahmad dicalonkan bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Md Alwi Che Ahmad dan ditentang calon daripada Bersatu Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Mengulas lanjut Ahmad berkata dia memanfaatkan masa yang berbaik bertemu dan merayu sokongan daripada pengundi pada saat-saat terakhir berkempen.

“Sepanjang dua bulan lalu lagi saya bekerja keras untuk DUN Kok Lanas, kini tinggal beberapa jam sahaja lagi tempoh berkempen sebelum penentuannya akan diketahui esok.

“Saya sudah melakukan yang terbaik dan sehingga saat ini saya masih berusaha berjumpa dengan pengundi dan merayu mereka supaya mengekalkan kerusi DUN Kok Lanas ini.

“Jika saya diberi kemenangan esok, saya akan berusaha sebaik mungkin dan meneruskan legasi ditinggalkan Md Alwi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS