DAP sekali lagi berada dalam mod bertahan selepas tular klip video memaparkan salah seorang ahlinya menyampaikan ucapan provokasi dan kata-kata kesat.

Klip video itu menunjukkan Lee Khai Ming, yang merupakan ahli biasa DAP, berucap pada majlis makan malam anjuran parti itu pada 10 Jun lepas di Kajang, Selangor.

Dalam klip video itu, Lee berulang kali menggelar PAS sebagai parti ‘pau tau tong’ yang bermaksud serban atau balut kepala.

Dia juga memberitahu orang ramai yang hadir bahawa PAS mengingatkannya mengenai “potong kemaluan” yang merujuk kepada amalan berkhatan.

Lee juga berulang kali menghamburkan kata-kata cacian dalam ucapan tersebut.

Pada satu ketika, Lee menempelak Umno dan MCA kerana ada di kalangan pemimpin mereka meminta DAP memohon maaf daripada BN.

Lee berkata tiada keperluan bagi DAP untuk memohon maaf kerana kritikan parti itu terhadap BN sebelum ini adalah berasas.

Ucapan itu yang disampaikan dalam bahasa Kantonis, mengingatkan kepada ucapan Hew Kuan Yaw, yang lebih dikenali sebagai “Superman”, sekitar 2011 hingga 2016.

Hew akhirnya keluar daripada DAP.

Klip video yang lengkap dengan sarikata bahasa Melayu itu dikongsi di laman sosial oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong malam tadi.

Wong berkata ucapan Lee mengandungi elemen "3R" justeru menuntut tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keahlian Lee telah digantung sementara menunggu siasatan.

Loke menegaskan ucapan itu tidak mewakili pandangan pimpinan DAP.

“Kepimpinan DAP mengkritik sekeras-kerasnya ucapan itu kerana ia berunsur provokasi dan penuh dengan kata-kata makian.

“Video lama ini dikongsi pada saat genting ini untuk menghentikan momentum kempen Pakatan Harapan dan BN.

“Saya menggesa semua penyokong Harapan dan BN supaya tidak terpengaruh dengan klip video itu kerana ia tidak mewakili DAP,” katanya.