Ilham Centre: Status quo di semua enam negeri
Badan pemikir Ilham Centre telah meramalkan kedudukan 3-3 untuk enam pilihan raya negeri esok.
Berdasarkan tinjauan pengundi dan kempen berterusannya, firma penyelidikan itu meramalkan status quo dari segi gabungan mana yang akan membentuk enam kerajaan negeri.
Ini bermakna gabungan Pakatan Harapan-BN akan kekal di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala Perikatan Nasional pula akan terus menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selangor
Di Selangor, yang menjadi kubu Pakatan Harapan, menurut IIham, peratusan pengundi bukan Melayu yang akan keluar adalah tinggi.
“Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor,” katanya.
Menurut kajian itu, PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
Sekiranya keadaan ini kekal, katanya, PN terpaksa melupakan undi Cina dan India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus undi Melayu untuk menang.

“PN berpeluang menambah kerusi di DUN bermajoriti Melayu namun tidak berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri,” katanya
Tinjauan itu juga mendapati penyokong Melayu PH, sebahagian besarnya akan kekal bersama gabungan tersebut.
Walaupun begitu, katanya, PN berpeluang menawan kerusi-kerusi di anjung utara Selangor yang majoriti pengundi adalah Melayu, serta di kawasan luar bandar seperti Sementa dan Sungai Kandis, yang kini dipegang oleh PKR.

DUN Hulu Kelang, yang ditandingi oleh bekas Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang mewakili PN, dijangka sengit dan sukar dibuat bacaan.
Negeri Sembilan
Di Negeri Sembilan, sukar dicabar apabila dua blok PH dan BN bergabung. Menurut Ilham, undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar manakala PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.

Menurut kajian itu, hanya tiga DUN akan berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas.
“Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN,” katanya.
Ditambah pula kekuatan PAS dan Bersatu di negeri itu tidak sekuat dan tersusun berbanding lima negeri lain.
“PN juga bermasalah untuk menampilkan poster boy untuk MB dan ini sedikit sebanyak memberi kesan untuk menarik pengundi di atas pagar kepada gabungan parti itu.,” katanya.
Pulau Pinang
Menurut Ilham Centre, PN juga boleh berpeluang cerah di kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang, iaitu Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua, manakala pertarungan sengit dijangka di Telok Ayer, Permatang Pasir dan Penanti.
Kedah
Di Kedah, 'faktor Sanusi' akan menyekat PH-BN daripada memenangi negeri itu, kata Ilham Centre.
Malah, keputusan PH-BN untuk menyerang menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sepanjang kempen mungkin menyebabkan mereka kehilangan beberapa kerusi di negeri itu, kata kajian itu.

Sekiranya peratusan keluar mengundi rendah di kalangan pengundi bukan Melayu di Kedah, PN berpotensi untuk meraih kemenangan bersih, katanya.
Bagaimanapun, menurut Ilham, setakat hari terakhir berkempen, PH-BN masih mempunyai peluang di Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang.
Kelantan
Walaupun hanya 57 peratus dan 61 peratus pengundi yang ditinjau Ilham Centre di Kelantan dan Terengganu, yang percaya PAS perlu kekal berkuasa, namun, pengundi menyifatkan gabungan PH-BN pula tidak serius untuk mengambil alih kerajaan.

“Ketiadaan tokoh berwibawa terutama di Kelantan menyebabkan pengundi yang mungkin kurang berpuas hati hilang keterujaan untuk mengubah undi mereka kepada gabungan itu.
“Kombinasi calon yang kurang meyakinkan, ketiadaan gelombang dengan isu yang kuat dalam kempen menyebabkan pengundi tidak melihat sebagai alternatif sokongan mereka,” kata kajian itu.
PH-BN hanya berpeluang berjuang di Kota Lama dan Galas di Kelantan, dengan bantuan pengundi Cina di sana, katanya.

Terengganu
Di Terengganu, hanya Telemung jelas untuk menyumbang kerusi. Menurut Ilham Centre, kerusi lain seperti Kijal, Seberang Takir dan Permaisuri undi putih Umno diperlukan untuk menyaingi PAS.
Kerusi Bandar pula diramalkan sengit atas faktor pengundi bukan Melayu yang cukup besar, kata para penyelidik.
Kajian Ilham Centre itu dijalankan oleh Muhamad Hisomuddin Bakar, Mohd Azlan Zainal, Mohd Jalaluddin Hashim, Mohd Yusri Ibrahim dan Mujibu Abd Muis.

Ramalan Ilham Centre inu berdasarkan tinjauannya terhadap 2,304 pengundi di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dari 29 Julai hingga 8 Ogos.
Seramai 48 lagi responden memberikan pandangan mereka melalui temu bual secara mendalam.

Responden dipilih menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata untuk mewakili umur, etnik, lokaliti, pekerjaan, tahap pendidikan dan saiz isi rumah yang berbeza.
BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/bb3500109ea677224d6735319e4bdd3f.jpg)
