Cuti umum diisytiharkan hari ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu disusuli dengan Negeri Sembilan dan Selangor esok, susulan PRN yang selesai semalam.
Hanya Pulau Pinang yang tidak mengisytiharkan cuti umum sempena PRN kali ini.
Pada Jumaat lalu, menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan cuti umum untuk negeri itu jika PN menang.
Bagi Selangor pula, menteri besar sementaranya Amirudin Shari turut membuat pengumuman serupa jika PH-BN kekal sebagai kerajaan negeri.
Menteri besar Terengganu dan Kelantan mengumumkan cuti umum di dua negeri itu tanpa mengira keputusan PRN, bagi memudahkan pekerja Suruhanjaya Pilihan Raya dan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Untuk rekod, cuti hujung minggu bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu (serta Johor) adalah Jumaat dan Sabtu, berbanding Sabtu dan Ahad seperti di negeri-negeri lain.
Sementara itu, menteri besar sementara Negeri Sembilan mengumumkan cuti umum pada malam tadi, susulan kejayaan PH-BN mendapat majoriti dua pertiga.
"Saya nak umumkan bahawa hari Isnin adalah cuti peristiwa bagi Negeri Sembilan.
"Saya harap kita berehat sehari dua, selepas itu kita buat kerja dan pastikan kita bantu rakyat Negeri Sembilan ini," katanya seperti dilaporkan media.
PRN semalam menyaksikan gabungan PH-BN mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, sementara PN mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah.
