Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Umno, Mohd Puad Zarkashi menasihatkan ahli parti supaya jangan panik di sebalik keputusan buruk setelah hanya menang 19 sahaja daripada 108 kerusi yang ditandingi. 

Sambil mengakui Umno semakin kehilangan sokongan orang Melayu, katanya, laluan parti itu untuk diterima semula oleh rakyat masih berliku.

“Bukan mudah untuk Umno mencari formula baru. 

“Tetapi Umno jangan panik seperti mahu tinggalkan kerajaan perpaduan. Fokus agenda ekonomi rakyat dan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dia juga menawarkan nasihat kepada pemimpin veteran parti yang ditolak oleh rakyat supaya mengundurkan diri.

Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas jangan bertanding lagi di pilihan raya akan datang. 

“Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen,” katanya.

Dia seterusnya meminta menteri Umno juga supaya menyelamatkan parti itu.

“Menteri Umno mesti deliver. Elak rakyat meluat pada tingkah laku Umno.

“Parti perlu naratif baru yang sampai kepada pengundi,” katanya lagi.

Pilihan raya bagi enam negeri semalam menyaksikan Umno hanya meraih 19 kerusi DUN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Di Terengganu dan Kedah, Umno mencatatkan prestasi terburuk dengan gagal menawan atau mengekalkan sebarang kerusi. 

Pencapaian terbaik Umno adalah di Negeri Sembilan dengan parti itu memenangi 14 kerusi, dan masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, sementara di Kelantan, parti itu mengekalkan kemenangan di satu kerusi di DUN Galas.

Bagaimanapun kerjasama PH-BN yang menerajui kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat pusat berjaya mempertahankan tiga negeri - Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Hanya di Selangor gabungan PH-BN gagal mendapatkan majoriti dua pertiga.