Portal berita Australia, 9news, melaporkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines dari Sydney ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa berpatah balik selepas berlaku "insiden kecemasan" di udara.

Menurut laporan tersebut, pesawat MH122 berlepas dari Lapangan Terbang Sydney pada jam 1.40 petang waktu tempatan tetapi mendarat semula di lapangan terbang itu pada jam 3.47 petang hari ini.

Difahamkan gangguan berlaku disebabkan seorang lelaki di dalam pesawat yang didakwa mengancam seorang penumpang lain.

Pegawai penerbangan memutuskan untuk berpatah semula ke Sydney atas sebab keselamatan.

Malaysia Airlines berkata pesawat yang membawa 194 penumpang dan lima anak kapal itu mendarat dengan selamat pada jam 3.47 petang waktu tempatan.

"Pihak berkuasa tempatan sedang menilai situasi ini. Keselamatan dan keselesaan kru dan penumpang kami adalah yang paling utama bagi Malaysia Airlines," jelasnya.

Dalam perkembangan terkini, 9news melaporkan seorang lelaki ditahan selepas kejadian tersebut.

"Seorang lelaki yang didakwa membuat ancaman kepada penumpang lain di dalam penerbangan Malaysia Airlines telah diiring keluar dari pesawat dengan tangan digari setelah hampir tiga jam di landasan.

"Lebih 30 penerbangan domestik telah dibatalkan," tulisnya dalam sebuah kenyataan di Twitter.