Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak cadangan veteran parti itu, Lim Kit Siang agar Muda menyertai DAP.

Loke berkata parti itu sebaliknya akan menumpukan usaha bagi mengukuhkan sayap pemudanya.

"Itu (cadangan) adalah pendapat peribadi Lim. Kami tidak membuat keputusan dan perancangan sedemikian

“Fokus kita adalah untuk memperkasakan parti kita sendiri,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur malam ini selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP.

Pada PRN di enam negeri Sabtu lalu, Muda tewas di semua 19 kerusi ditandingi mereka selain kesemua calonnya hilang deposit.

Susulan keputusan itu, Lim berkata dia kagum dengan idealisme ditunjukkan Muda dan mencadangkan parti itu meneroka kemungkinan bergabung dengan DAP.

Bagaimanapun Lim berkata cadangan itu hanya merupakan pandangan peribadinya.

DAP berbangga kemenangan di Sungai Pelek

Dalam pada itu, Loke berkata DAP sangat berbangga dengan keputusan yang dicatatkan parti itu di DUN Sungai Pelek.

Pada Sabtu lalu, calon PH dari DAP, Lwi Kian Keong mengekalkan kerusi Sungai Pelek dengan meraih 17,984 undi mengatasi pencabarnya dari PN, Suhaimi Ghazali (16,526 undi) dan calon Bebas, Nageswaran Ravi (230 undi).

Meskipun menang tipis, DAP menganggap kemenangan di Sungai Pelek sebagai kejayaan signifikan memandangkan majoriti pengundi di kerusi berkenaan terdiri daripada kaum Melayu.

"Hampir 60 peratus adalah pengundi Melayu, pengundi Cina hanya 20 peratus lebih manakala pengundi kaum India tak sampai 15 peratus.

“Jadi komposisi di DUN Sungai Pelek adalah 60 peratus pengundi Melayu dan 40 bukan Melayu tetapi kita meletakkan seorang calon dari kaum Cina dan kita berjaya menewaskan calon PN daripada Bersatu.

“Jadi, ini satu contoh kejayaan yang sangat signifikan di mana seorang calon DAP daripada kaum Cina menewaskan calon Melayu daripada PN-Bersatu di kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Tambah Loke, ia juga menunjukkan bahawa pengundi di Selangor termasuk pengundi Melayu boleh menerima calon PH.

Dalam sidang media itu, Loke turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi PH-BN yang telah mengundi calon daripada gabungan itu pada sabtu lalu.