Pemimpin pembangkang hari ini mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi yang mahu mengambil tindakan terhadap pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berkempen untuk pembangkang dalam pilihanraya kecil Machap dan Ijok.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan kementerian tersebut terhadap pelajar berkenaan sebagai "mengarut dan tidak demokratik".

Beliau berkata, , sekiranya tindakan seperti ini diambil, maka negara akan kehilangan golongan pelajar yang akan memimpin masyarakat dan negara pada masa akan datang.

Beliau mengutuk keras tindakan tersebut yang disifatkannya sebagai keterlaluan sedang pensyarah dan pelajar yang pro-kerajaan dibiarkan.

"Pelajar yang berkempen tidak sepatutnya dihukum kerana ini negara demokrasi," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Semalam Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, 38 pelajar beberapa IPTA telah dikenalpasti berkempen untuk pembangkang dalam kempen pilihanraya kecil Machap dan Ijok.

Sekat kebebasan

Menurutnya, senarai nama pelajar telah diserahkan kepada jawatankuasa pemantau peringkat kementerian untuk diambil tindakan.

"Kita mempunyai maklumat tentang penglibatan mereka dan saya sudah mengarahkan jawatankuasa itu supaya mengambil tindakan terhadap mereka mengikut peraturan yang ada," kata Mustapa.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pelajar IPTA adalah golongan yang cerdik dan mereka boleh membuat keputusan untuk menentukan kepimpinan politik.

Manakala Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ang Hok Gai pula menyifatkan, tindakan ke atas pelajar yang berkempen untuk parti pembangkang itu sebagai tidak adil dan menyekat kebebasan.

Katanya, pelajar universiti dikongkong bukan sahaja sewaktu pilihanraya, tetapi juga banyak lagi aktiviti seperti forum dan perbincangan, melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Menurutnya, Auku mesti dimansuhkan agar ia memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai dalam pelbagai aktiviti.

Salah langgar Auku

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan pelajar tersebut berkempen untuk parti pembangkang adalah salah kerana mereka melanggar Auku.

Menurut Auku, katanya, para pelajar tidak boleh menyertai mana-mana parti politik.

"Tindakan yang tegas harus diambil ke atas pelajar tersebut kerana mereka telahpun diberitahu tentang kesannya jika melanggar Auku tetapi mereka tidak mematuhinya," katanya.

Syed Anuar berkata, kerajaan memberi biasiswa dan pinjaman kepada pelajar tetapi pelajar pula menentang kerajaan.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran lebih arif dalam hal-hal yang berkaitan dengan hukuman ini dan akan mengambil tindakan berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan.

"Kalau menurut Auku, pelajar tersebut perlu digantung, maka mereka akan digantung," katanya.