Amanah gesa PM tegas arahkan Jakim perjelas naratif Islam k'jaan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menjadi agensi teras kerajaan dalam hal ehwal agama boleh memainkan peranan yang berkesan bagi menggerakkan dasar Madani dalam naratif Islam, kata Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof.
Katanya dalam keadaan Jakim memiliki pelbagai kemudahan yang boleh digerakkan ke seluruh negara, terlalu merugikan jika langkah tersebut tidak dilaksanakan.
Cuma menurut Mujahid, dalam keadaan sekarang ada sesuatu yang perlu dilakukan kerajaan khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"[...] dengan syarat PMX (Anwar) perlu tegas mengarahkan perlaksanaannya melalui menteri yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid menjelaskan di bawah menteri agama ada 14 agensi yang boleh disusun untuk menumpukan perhatian dan tugas mereka merealisasikan agenda Madani secara sistematik.
Pun begitu tambah bekas ahli parlimen Parit Buntar itu lagi, amat rugi apabila badan pentadbiran Islam di peringkat persekutuan seolah-olah terpasung kaki dan tangannya untuk bersikap proaktif menjayakan dasar Madani.
“Semasa dasar RLA (Rahmatan lil Alamin dalam kerajaan PH 2018), semua agensi Islam peringkat persekutuan perlu memenuhi sasaran kerja RLA untuk menilai pencapaian mereka.
“Bahagian dasar Jakim bertanggungjawab menyediakan keperluan kertas kerja dan perancangan setahun program serta aktiviti untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi,” katanya.

Mujahid berkata demikian sebagai mengulas perkembangan semasa pasca-PRN yang berlangsung pada 12 Ogos lalu dan menyaksikan parti kerajaan bergelut untuk menggugat PN di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Di tiga negeri lain yang ditadbir PH-BN, gabungan PN membuat beberapa kejayaan yang agak signifikan apabila berjaya memenangkan ramai calon mereka khususnya di kawasan majoriti Melayu.
Keputusan itu juga mendorong pelbagai pihak mengulangi gesaan kepada kerajaan agar melihat semula peranan dan keberkesanan agensi Islam persekutuan yang kini diketuai bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Mohd Na'im Mokhtar.
Ada banyak media kerajaan
Mujahid berkata naratif Islam sekali lagi menjadi faktor penting yang mempengaruhi kecenderungan pengundi dalam PRN yang berlangsung baru-baru ini.
Katanya naratif itu bermaksud sudut penceritaan isu, penonjolan imej dan pelataran Islam dalam konteks pemerintahan yang dikaitkan dengan komitmen kerajaan.
Walaupun Islam sudah termaktub sebagai agama rasmi negara ini, katanya, rakyat di negara ini masih memerlukan naratif yang sebegitu dalam langkah politik masing-masing.
Mengingatkan bahawa dasar RLA mendapat restu daripada Majlis Raja-raja Melayu untuk dilaksanakan kerajaan pada 2018, ia digerakkan dengan kerangka jelas bagi menghadapi perbezaan fikrah pihak yang bertentangan.
Usaha yang tersedia untuk disebarkan ke akar umbi itu, katanya, terbantut dengan insiden langkah Sheraton.

Ketika ini tambah Mujahid, Jakim memiliki pelbagai wadah untuk menjelaskan dasar Madani kepada seluruh rakyat seperti Media Jakim, TV AlHijrah dan Radio IKIM.
"Ia perlu dikerahkan (untuk menjelaskan dasar kerajaan) seperti yang pernah dilakukan bagi mengetengahkan dasar RLA," katanya.
Cara lain, tambah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, ialah mengadakan sesi dialog awam (townhall) untuk menyampaikan idea-idea Islamik Madani antara kementerian.

Tambah Mujahid walaupun institusi adalah berada di bawah kuasa negeri (kecuali di Wilayah Persekutuan) kerajaan sebelum ini pernah memperkenalkan dasar Masjid RAHMAH - yang merujuk kepada sifat ramah, aman, harmoni, alami dan hormat.
Langkah itu, katanya, dilaksanakan bagi mengelak masjid dan surau disalah guna sebagai tempat menyebarkan Islam politik dan fahaman radikal.
“Pengalaman RLA - walaupun hanya berjalan 22 bulan - tapak dan asas telahpun dilancarkan.
“PMX hanya perlu menyambung, memperbaiki dan menetapkan keutamaan naratif Islam Madani selain isu ekonomi dan sara hidup.
“Kita sekarang tidak punya masa yang mewah!” katanya yang turut menekankan supaya semua program madani itu perlu berada di bawah satu agensi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/05/c200d5bd669a166d2c9954b60e75e2fe.jpg)
