Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) membidas kerajaan susulan penguatkuasaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang "terlalu bersemangat" berikutan serbuan terbaru yang dijalankan ke atas sebuah kedai buku tempatan semalam.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata serbuan ke atas kedai buku Toko Buku Rakyat milik penulis tempatan Benz Ali di Wisma Central, Kuala Lumpur, adalah yang kedua daripada tindakan sedemikian yang dilakukan tanpa larangan diwartakan ke atas barang yang dirampas.

Zayed dalam satu kenyataan hari ini menggesa kerajaan menghentikan semua tindakan penguatkuasaan terhadap dua buku dirampas dari kedai Benz Ali, dan seterusnya mengambil langkah segera untuk pemansuhan akta itu.

“PPPA tidak seharusnya terus wujud di bawah perdana menteri atau kerajaan ‘reformis’,” katanya.

Dalam serbuan semalam, pegawai Kementerian Dalam Negeri merampas dua judul buku: Marx Sang Pendidik Revolusioner oleh Robin Smalls dan Koleksi Puisi Masturbasi oleh Benz Ali.

“Kerajaan tidak berhak untuk merampas mana-mana penerbitan yang difikirkan tidak sesuai tanpa melalui proses yang dinyatakan dalam seksyen 7(1) PPPA yang menyatakan bahawa sebarang perintah menteri untuk mengharamkan penerbitan mesti diwartakan sebelum ia boleh mempunyai kuasa undang-undang,” kata Zaid.

“Kedua-dua buku itu tidak diharamkan di bawah PPPA.

“Justeru, penguat kuasa kerajaan bertindak menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan melulu apabila menyerbu dan merampas buku-buku itu dari stor,” katanya.

Zaid seterusnya berkata tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk pembaharuan undang-undang zalim, termasuk memansuhkan PPPA, yang disenaraikan dalam manifesto gabungan itu sejak sebelum ia mula membentuk kerajaan persekutuan pada 2018.

Dia menegaskan bahawa PH bukan sahaja telah mengkhianati prinsipnya, cara serbuan dan rampasan dijalankan menunjukkan bahawa pentadbiran sekarang telah bertindak di luar batas undang-undang.

“Merampas atau memusnahkan buku adalah ciri negara polis, bukan demokrasi yang sepatutnya kita ada.

"Keghairahan yang dilakukan oleh kerajaan selepas analisis akademik yang tidak dapat disangkal mengenai Karl Marx dan buku puisi mengenai keadaan manusia nampaknya merupakan satu lagi langkah sinis untuk mengalihkan pandangan konservatif yang melampau," kata Zayed.

“Kami mengingatkan kerajaan bahawa tugasnya adalah untuk melindungi masyarakat daripada bahaya sebenar atau ancaman bahaya, bukan pemikiran dan idea, yang dilindungi oleh Perlembagaan.

“Pada setiap masa kerajaan mesti berpandukan prinsip, dan bukannya sentimen populis dengan harapan memperoleh cukup undi untuk terus berkuasa,” katanya.