Sweden semak semula akta ketenteraman awam
GLOBAL | Kerajaan Sweden akan menyemak semula Akta Ketenteraman Awam sebagai tindak balas kepada siri serangan berulang terhadap al-Quran, menurut laporan media.
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, bersama pemimpin gabungan kerajaan, Ebba Busch dari Parti Demokrat Kristian dan Johan Pehrson dari Parti Liberal bersama-sama menulis artikel yang diterbitkan dalam akhbar Dagens Nyhete.
Ia menekankan keperluan mengatasi isu berkenaan dengan segera selain berkongsi komitmen mereka untuk menyemak undang-undang sedia ada tanpa membuat perubahan kepada perlembagaan.
“Mereka menekankan kepentingan polis mengambil kira keselamatan negara sambil mempertimbangkan permohonan untuk perhimpunan dan demonstrasi,” lapor Agensi Anadolu.
"Kerajaan akan menyiasat cara-cara untuk mengubah peraturan dan mencegah serangan terhadap kitab suci umat Islam," menurut laporan itu lagi.
Beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan perbuatan membakar dan mencemarkan al-Quran berulang kali oleh tokoh atau kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara Eropah utara dan Nordik.
- Bernama-Anadolu
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/5b67b9967d1defdd57f82e355fec2fb9.jpg)
