Insinerator: Adun janji bawa bantahan penduduk pada k'jaan Selangor
Adun Rawang, Chua Wei Kiat berjanji akan membawa bantahan penduduk terhadap rancangan kerajaan negeri Selangor membina Loji Sisa ke Tenaga (WTE) di kawasan itu.
Dalam satu kenyataan, Adun PH itu berkata adalah tidak adil untuk meletakkan penduduk Rawang dalam risiko terutamanya apabila loji itu bakal dibina berhampiran kawasan perumahan mereka.
"Sehingga kini masih tiada insinerator yang mempunyai success story di Malaysia. Ia tidak adil bagi meletakkan penduduk Rawang dan Kuang dalam keadaan yang mempunyai risiko tinggi, kediaman akan terjejas dengan pencemaran.
"Tambahan pula faktor Batu Arang merupakan kawasan warisan dengan lombong arang, keselamatan pembinaan kilang tersebut menjadi kekhuatiran bagi penduduk setempat.
"Selepas kerajaan Selangor baru wujud, saya turut akan bawa suara penduduk kepada barisan pemimpin kerajaan,” katanya di Facebook.

Chua merupakan Adun Rawang bagi penggal kedua selepas berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri Selangor minggu lepas.
Kerajaan negeri Selangor masih belum dibentuk sementara menunggu majlis angkat sumpah Menteri Besar baru yang dijadualkan pagi esok.
Menurut Chua, dia juga telah menyuarakan bantahan terhadap projek insinerator itu semasa kempen pilihan raya baru-baru ini, termasuk pada ceramah bersama Menteri Besar sementara, Amirudin Shari.
Semalam, kumpulan penduduk mengadakan sidang media bagi menggesa kerajaan negeri Selangor membatalkan projek insinerator di Rawang.

Kumpulan itu yang menggelarkan diri mereka Rawang Tolak Incinerator Network (RTI) menegaskan loji itu akan membawa lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan kepada penduduk.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/f9a13c7d67a115cd112950f3f14fcd58.jpg)
