Tiong sasar PDP bergabung dengan PSB sebelum akhir 2023
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing mensasarkan penggabungan partinya dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilakukan sebelum akhir tahun ini.
Sehubungan itu, dia menggesa barisan tertinggi partinya supaya bekerjasama dengan PSB untuk bergerak ke hadapan dan berkhidmat kepada orang ramai dengan ikhlas.
“Saya berharap untuk menyasarkan kedua-dua parti boleh bergabung pada Disember ini.
“Jika kita serius dan bekerjasama demi kepentingan orang ramai...kita, sebelum akhir tahun, kita bergabung bersama.
"Dan kita boleh melaksanakan dan berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan lebih baik, terutamanya kerajaan Sarawak (di bawah pimpinan) Premier Sarawak Abang Johari Openg, memberi sokongan penuh," katanya yang dipetik Utusan Borneo Online.
Tiong berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan PDP-PSB di sebuah hotel di Sibu pada malam Sabtu.
Presiden PSB Wong Soon Koh, yang turut hadir, berkata kedua-dua parti akan menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi tidak lama lagi untuk memperhalusi perkara berkaitan penggabungan itu.
Adun Bawang Assan itu menambah bahawa Tiong akan menjadi presiden entiti yang digabungkan dan kedudukannya sendiri akan ditentukan kemudian.
PSB pada 13 Julai meluahkan sokongan kepada Abang Johari serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam “semangat perpaduan”.
Sokongan itu diberikan selepas kedua-dua TIong dan Wong menandatangani memorandum persefahaman (MOU).
Bagaimanapun, Abang Johari berkata, MOU yang dimeterai itu tidak melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Abang Johari yang juga pengerusi GPS berkata, buat masa ini gabungan parti Sarawak belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan PSB.
Dia juga enggan mengulas sama ada kerjasama PSB-PDP itu bakal ditentang parti komponen GPS lain, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP dan Parti Rakyat Sarawak.
Susulan keputusan PSB, DUN Sarawak kini hanya mempunyai dua anggota pembangkang iaitu Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dan Violet Yong (DAP-Pending).
PDP mempunyai lima kerusi dan adalah sekutu GPS. PSB adalah sebahagian daripada pembangkang dan mempunyai tiga kerusi dalam dewan undangan negeri.
Tanpa sokongan PDP, GPS mempunyai 76 daripada 82 kerusi dalam dewan undangan negeri Sarawak.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/9bae8443f4aec8bc4c40cc1a01462ab6.jpg)
