Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Logo DAP di replika cek sumbangan sekolah, Nga kata 'tiada isu'

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menepis kritikan berhubung pemaparan logo DAP dalam replika cek yang diserahkan kepada beberapa sekolah di Ipoh, Perak.

"Tiada isu," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

"Apa yang paling penting adalah sekolah dapat manfaat," katanya lagi, yang juga naib presiden DAP.

Pada Sabtu lalu, Nga menyerahkan replika cek kepada 17 sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina selepas kerajaan memperuntukkan dana RM1.8 juta untuk kerja membaiki dan menambah baik sekolah.

Selain logo DAP, logo PH dan Malaysia Madani turut dicetak bersama-sama jata negara di cek tersebut.

Antara pihak yang menyuarakan kritikan dan mempersoalkan perkara itu adalah Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Menurut Mah, ia boleh dilihat sebagai "salah guna kuasa" dan mengaburi batasan antara parti politik dan kerajaan.

Dia mengingatkan ia boleh menjejaskan imej dan kewibawaan kerajaan, serta menggesa tindakan diambil terhadap menteri dan ahli parlimen yang disyaki menyalahgunakan kuasa mereka.

Mah juga menggesa Nga untuk memohon maaf atas perkara itu.

Ini bukan kali pertama Nga dikritik atas perkara serupa.

Pada 2019, Presiden MCA Wee Ka Siong mengkritiknya kerana menyerahkan replika cek bagi pihak kerajaan yang ada logo PH kepada sebuah sekolah Cina di Perak.

Sementara itu, Akmal menggesa Nga memberi penjelasan jika dana terbaru itu datang daripada kerajaan.

"Jika dari pihak kerajaan, apakah kaitan logo DAP di replika cek? Jangan jadi bodoh bila dah jadi menteri," katanya di Facebook.

Selain daripada pihak daripada gabungan kerajaan, tindakan Nga turut mengundang kritikan pembangkang.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan sama ada Nga cuba "tipu dan merepak" dalam jawapannya.

"Itu bukan duit DAP, itu duit kerajaan yang dapat daripada hasil cukai rakyat. Ini tatakelola yang salah," katanya di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS