Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gelandangan ditemui mati dalam longkang 
Diterbitkan:  Aug 25, 2023 12:33 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Mayat seorang lelaki gelandangan ditemukan di dalam sebuah longkang di Jalan Sultanah, di Batu Pahat, kira-kira pukul 5 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata usaha mengeluarkan mayat berkenaan dibantu pasukan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan fizikal ke atas tubuh mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang berunsurkan jenayah dijumpai.

“Mangsa dipercayai telah terjatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit itu dan lemas akibat pengaliran air.

“Berdasarkan maklumat orang awam, si mati merupakan seorang gelandangan yang sering kelihatan di kawasan tersebut. Polis sedang berusaha mengenal pasti identiti si mati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Polis meminta orang awam yang kehilangan mana-mana individu atau mempunyai maklumat berkenaan si mati supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan serta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat di talian 07-436 300,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS