Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kepimpinan parti akan bertindak terhadap Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis (gambar), yang menghadiri acara kempen Perikatan Nasional (PN) di Johor pada Rabu.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur malam tadi, Zahid berkata dia telah dimaklumkan dan perkara itu sedang disiasat.

"Saya akan terima laporan itu dan kita akan lakukan sesuatu," katanya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jailani memenangi kerusi Rembia pada 2018 atas tiket PKR tetapi berpaling tadah pada 2020. Dia menyertai Umno pada tahun berikutnya, menjelang pilihan raya dewan undangan negeri Melaka.

Selepas dipilih semula, dia dilantik sebagai exco di bawah ketua menteri ketika itu Sulaiman Md Ali.

Bagaimanapun, dia dipecatselepas Ab Rauf Yusoh mengambil alih jawatan ketua menteri pada Mac tahun ini.

Hubungan Jailani dengan Ab Rauf tegang sebelum pertukaran ketua menteri.

Sebelum pelantikan Rauf, Jailani meramalkan peristiwa itu dengan mendakwa Melaka bakal menerima ketua menteri "pintu belakang".

Jailani memberitahu The Star bahawa kehadirannya di acara PN di Johor tidak memberi isyarat bahawa dia bercadang untuk meninggalkan Umno.