Syed Husin minta perwakilan AMK pilih pemimpin berdisiplin
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Husin Ali menggesa para perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) memilih barisan kepimpinan baru yang bijak, komited dan berdisiplin.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Husin Ali menggesa para perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) memilih barisan kepimpinan baru yang bijak, komited dan berdisiplin.
"Saya berharap perubahan kepimpinan akan lebih bermakna dan dapat membawa kepada perpaduan dan kejayaan parti," katanya ketika merasmikan kongres nasional tahunan AMK dan Wanita PKR di Seremban pagi ini.
Menurutnya, AMK belum banyak berubah dan masih wujud "minda authoritarian dan minda feudal yang sudah lapuk, yang memperngaruhi sikap sebilangan kecil pemimpin dari peringkat bawah ke atas dan pengikutnya".
Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan sikap serta tindakan serba tahu dan selalu betul dan tidak mahu menerima teguran atau kritikan di kalangan pemimpin berkenaan.
"Ada juga masalah disiplin di kalangan wanita tetapi tidaklah begitu besar. Saya mesti mengakui tidak semuanya berjalan lancar," katanya.
Menurutnya, ada ahli dan pemimpin AMK yang membuat tuduhan dan dakwaan secara melulu dan tanpa bukti terhadap parti.
Sehubungan itu, kata Syed Husin, adalah satu kesilapan kerana parti tidak mengambil tindakan terhadap golongan ini, termasuk mereka yang menuduh parti tersebut korup dan tidak relevan.
Kikis minda negatif
Katanya, ahli dan beberapa pemimpin angkatan muda menjadi bongkak kerana mereka menganggap diri mereka sangat kuat.
Syed Husin juga berkata berlaku banyak hal yang pincang dalam pemilihan pimpinan dan pemilihan perwakilan AMK ke kongres kali ini.
Oleh itu, beliau menggesa supaya apa yang berlaku kali ini harus dijadikan teladan dan pelajaran supaya ia tidak berulang lagi.
Ekoran itu, beliau menggesa dielak berlaku perpecahan selepas berlangsungnya kongres nasional dan dikikis 'saki-baki' minda negatif yang wujud dalam parti.
"(Bila) menang jangan jadi bongkak dan mengetepikan yang kalah. Yang kalah jangan merajuk atau menghilangkan diridan lebih teruk lagi dengan menyerang dan cuba menjatuhkan parti," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihat para perwakilan supaya membuat pilihan yang bijak apabila memilih barisan kepimpinan AMK yang baru yang mampu membawa kepada perpaduan dan kejayaan kepada parti.
Di samping itu, beliau berharap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memimpin seluruh parti itu untuk menuju kejayaan.
Syed Husin menjangka pilihanraya umum mungkin diadakan secara mengejut pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.
Sehubungan itu, katanya, kenaikan gaji dan penurunan harga minyak akan menjadi bahan utama kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum kali ini.

