Bidang kehakiman Msia yang kesembilan terbaik di dunia
Nampaknya rakyat Malaysia mempunyai tanggapan yang lebih baik terhadap bidang kehakiman berbanding rakyat kebanyakan negara perindustrian, dan ini telah mengelirukan pihak Transparency International (TI) Malaysia dan Majlis Peguam.
Nampaknya rakyat Malaysia mempunyai tanggapan yang lebih baik terhadap bidang kehakiman berbanding rakyat kebanyakan negara perindustrian, dan ini telah mengelirukan pihak Transparency International (TI) Malaysia dan Majlis Peguam.
Berdasarkan hasil tinjauan pendapat yang dijalankan, kita mempunyai badan kehakiman kelas dunia.
Berada di tangga ke-9, Malaysia berada di kedudukan yang lebih baik daripada Hong Kong (11), United Kingdom (21) dan Amerika Syarikat (33) dalam tinjaun persepsi mengenai rasuah dalam bidang kehakiman yang dijalankan oleh TI di 62 negara tahun lalu.
Bagaimanapun, Malaysia masih dibelakang negara yang secara tradisinya berada di ranking yang tinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah Tahunan TI, termasuk Denmark (1), Singapura (2), Sweden (3) dan Finland (4).
Kedudukan Malaysia juga lebih baik dari Jepun (16), Korea Selatan (29) dan Taiwan (44), dan kebanyakan negara Asia yang lain. Hasil tinjauan itu dimuatkan dalam Laporan Rasuah Global TI 2007.
Apabila responden diminta memberi ranking - 1 hingga 5 - hanya 19 peratus menganggap sistem kehakiman Malaysia rasuah. Pengerusi TI Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam sendiri tidak dapat memahami hasil tinjauan tersebut.
Bercakap dalam satu forum hari ini, beliau berkongsi pandangan itu dengan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh.
Hasil tinjauan
Ramon berkata, TI tidak menyatakan kaedah yang digunakan dalam menjalankan dan dalam merumuskan hasil tinjauan pendapat tersebut.
"Dan saya perlu ulangi bahawa jangan terkeliru antara tinjauan (persepsi rasuah dalam bidang kehakiman) dengan indeks Persepsi Rasuah," katanya.
Malaysia berada di ranking 44 daripada 163 negara dalam indeks rasuah yang diumumkan tahun lalu.
Menurut laporan rasuah dalam bidang kehakiman, seramai 59,661 orang dari semua negara terbabit, ditemui antara bulan Jun hingga September tahun lalu. TI tidak menyatakan jumlah responden bagi setiap negara.
"Kita juga tidak tahu siapakah mereka ini. Adakah mereka ini pelabur asing atau mereka tinggal di Malaysia? Apakah nisbah antara rakyat asing dengan rakyat tempatan," kata Ramon.
Ramon berkata, beliau akan menghubungi ibupejabat TI di Berlin untuk mendapatkan "penjelasan sewajarnya" berhubung isu tersebut.
Buat 'orang leka'
Ambiga pula berkata, hasil tinjauan tersebut mungkin membuat 'orang leka' dan menegaskan Majlis Peguam telah melancarkan kempen membawa pembaharuan dalam sistem perundangan negara.
"Bila kita mencadangkan penambahbaikan, ia tidak seharusnya dianggap sebagai pengacau. Kita mahu mempunyai bidang kehakiman kelas pertama. Kita mahu sistem berjalan dengan baik," katanya.
Dr Mohd Tap pula mahu sistem ranking dimansuhkan. "Bila ada sistem ranking, orang akan fikir kita lebih dari negara-negara tertentu...Kita harus menerima hakikat bahawa 19 peratus menganggap sistem kehakiman adalah rasuah," katanya.
Ramon mencadangkan Majlis Peguam dan TI-Malaysia menjalankan kajian di kalangan rakyat tempatan untuk "mengetahui tahap kepercayan dan keyakinan" mereka terhadap bidang pendakwaan dan kehakiman.
Dalam satu sidang akhbar, Mohd Tap berkata, IIM akan bekerjasama dengan majlis tersebut dalam kajian yang akan dijalankan terhadap persepsi orang ramai mengenai rasuah. Beliau tidak menyatakan bila kajian itu akan dijalankan.
"Ia akan menjadi satu garispanduan yang baik untuk kita mengetahui apa rakyat fikir. Kajian persepsi itu mencerminkan realitinya," kata
"Bagaimanapun, kaedahnya mesti sistematik," tambahnya. Berita asal

