'Blok Borneo untuk kesejahteraan rakyat, bukan jadi kingmaker'
Di tengah-tengah cakap-cakap untuk memperkukuhkan 'Blok Borneo' bagi memastikan kestabilan politik di peringkat persekutuan, bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak berkata fokus utama negeri itu ialah mengenai kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi.
“Baru-baru ini, istilah 'Blok Borneo' – satu pakatan politik antara Sabah dan Sarawak – ditimbulkan oleh beberapa pemerhati politik.
“Cakap sebegini seolah-olah ia hanya bertujuan untuk meningkatkan kuasa politik, bukan kesejahteraan rakyat.
“Kesejahteraan ekonomi rakyat Sabah menjadi perhatian utama, yang merangkumi kebajikan untuk semua, peningkatan pendapatan, peningkatan kualiti hidup penduduk di luar bandar, pewujudan peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi baru, kemajuan dalam kesihatan dan kebajikan sosial, dan pembangunan tenaga elektrik,” kata Salleh dalam catatan Facebook malam tadi.
Katanya, jika kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi menjadi tumpuan utama, tidak timbul persoalan untuk Blok Borneo menjadi 'kingmaker'.
"Dedikasikan sumber dan usaha kita untuk kesejahteraan rakyat, bukan kepada blok politik," katanya.
Penganalisis politik kebelakangan ini memperkatakan mengenai peranan blok Borneo di peringkat persekutuan.
Ini berlaku di tengah-tengah spekulasi bahawa tujuh Ahli Parlimen BN bakal mengosongkan kerusi mereka. Bagaimanapun khabar angin itu dinafikan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata ahli parlimen BN terikat dengan aku janji yang telah ditandatangani sebelum ini.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Alexander Nanta Linggi juga dilaporkan berkata pengukuhan 'blok Borneo' bertujuan untuk memastikan kestabilan politik di peringkat persekutuan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/d1d4eb2064ef7a10e672fb23b1ad1867.jpg)
