Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N13 Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Ir Nazri Abdul Rahman, calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas, S Jeganathan.

Nazri merupakan Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Bakri manakala Mohd Mazri adalah bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

Sementara calon Bebas, Jeganathan merupakan seorang ahli perniagaan.

Perkara itu disahkan Pengurus Pilihan Raya DUN N13 Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah yang mengumumkan senarai calon pada 10.12 pagi di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor, hari ini.

Jamil berkata, borang pencalonan pertama dikemukakan Mazri pada 9.04 pagi, diikuti Nazri pada 9.08 pagi dan Jeganathan pada 9.18 pagi.

Tiada calon yang ditolak borang pencalonan dan gelanggang kempen PRN bagi DUN Simpang Jeram bermula secara rasminya

Sementara itu, suasana di luar pusat penamaan calon juga terkawal dan penyokong dilihat berada di lokasi yang telah ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengiringi calon PH-BN di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pagi ini.

Mereka tiba kira-kira jam 8.30 pagi bagi mengiringi calon.

Hadir sama, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Presiden Amanah, Adly Zahari.

Calon PN pula diiringi Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan Naib Pengerusi PN Johor, Abdullah Husin.

Manakala calon Bebas hanya diiringi pencadang dan penyokong.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, bekas timbalan pengerusi Amanah Allahyarham Salahuddin Ayub akibat pendarahan otak pada 23 Julai lalu.