Bapa Altantuya disepina beri keterangan
Dr Shaariibuu Setev, bapa model sambilan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu telahpun disepina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan anak perempuannya itu yang akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Jun ini.
Dr Shaariibuu Setev, bapa model sambilan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu telahpun disepina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan anak perempuannya itu yang akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Jun ini.
Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Al Habshi berkata meskipun mengalami kemurungan yang teruk dan dinasihatkan oleh doktor supaya berehat namun Shaariibuu, 56, bertegas untuk menghadiri perbicaraan itu.
Pengarah Pusat Pendidikan dan Maklumat National University of Mongolia itu dijadual tiba di negara ini pada 2 Jun, katanya kepada Bernama.
Lebih 20 saksi dijangka memberi keterangan pada perbicaraan itu yang mengambil masa selama 26 hari.
Pembunuhan ngeri Altantuya mendapat liputan meluas media di Malaysia dan di Mongolia di tengah-tengah spekulasi bahawa selain ditembak, bahan letupan turut digunakan untuk meletupkan mayatnya.
Bernama memetik Syed Abdul Rahman sebagai berkata, Shaariibuu akan diiringi Setiausaha Khas Kementerian Hal Ehwal Luar Mongolia Aruinbold Yadmaa, seorang pegawai Kedutaan Mongolia di Bangkok, tiga sepupu Altantuya yang hanya dikenali sebagai Burmaa, Almiraa dan Gal Ochir, serta seorang penterjemah bernama Aggie.
Serpihan tulang
Katanya, Shaariibuu berharap perbicaraan itu akan berjalan lancar dan sebahagian daripada cebisan tulang Altantuya yang ketika ini disimpan sebagai barang kes mahkamah akan dibawa pulang ke ibu negara Mongolia, Ulaan Bataar, untuk dikebumikan.
"Shaaribuu terus berada dalam kesedihan dan berdoa agar Tuhan menghukum pihak yang membunuh anak perempuannya," kata Syed Abdul Rahman.
Serpihan tulang yang dipercayai milik Altantuya ditemui di sebuah hutan berhampiran Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam, pada November tahun lalu.
Altantuya datang ke Malaysia pada 6 Oktober bersama seorang sepupu, dan dilaporkan mencari seorang lelaki rakyat Malaysia yang mendampinginya di Mongolia.
Apabila beliau hilang 13 hari kemudian, sepupunya itu membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan daripada Kedutaan Mongolia di Bangkok.
Dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh Altantuya.
Seorang penganalisis politik terkemuka tanah air, Abdul Razak Baginda, 46, turut didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu.

