Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad: Istilah 'gelombang rakyat' oleh PN hanya temberang
Diterbitkan:  Aug 27, 2023 10:15 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Istilah “gelombang rakyat” yang dicipta oleh Perikatan Nasional (PN) hanyalah cakap kosong yang dicipta oleh pakatan pembangkang, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor Ahmad Maslan.

Ahmad yang mempertikaikan istilah itu, berkata adalah tidak tepat untuk menggambarkan bahawa seluruh negara menyokong "gelombang" tersebut apabila PN hanya menguasai empat negeri.

Negeri yang dimaksudkan ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Macam mana pula itu dipanggil gelombang rakyat? Malaysia ada 14 negeri, mereka (PN) dapat empat negeri sahaja. Kita ada 10 (negeri).

"Takkan mereka tak tahu matematik, 10 jauh lebih banyak daripada empat.

"Jangan nak kata itu gelombang rakyat, temberang diorang saja. Itu hanyalah 'gelombang hijau' yang tak sampai ke mana dan empat negeri itu sahajalah gelombangnya,” kata Ahli Parlimen Pontian itu kepada pemberita selepas melawat pusat daerah mengundi Taman Bukit Kempas di Pulai, Johor hari ini.

Turut hadir calon Pakatan Harapan (PH) untuk PRK Pulai Suhaizan Kaiat.

Ahmad, yang juga ahli majlis tertinggi Umno, menyatakan keyakinan bahawa pengundi di Simpang Jeram dan Pulai akan bersikap rasional dalam membuat keputusan yang tepat untuk memilih wakil rakyat bagi kerusi DUN dan parlimen masing-masing.

"Orang sini tak mahu Pulai jadi pembangkang. Pulai sudah jadi kerajaan, kenapa tiba-tiba nak jadi pembangkang?

"Simpang Jeram juga. Kenapa kita tiba-tiba nak jadi pembangkang? Kawasan pembangkang ini tidak ada faedah, satu sen pun.

"Jadi, kita teruskan supaya kawasan Pulai dan Simpang Jeram berada dalam kerajaan.

"Perlu diketahui bahawa di peringkat Pusat telah selesai dan kerajaannya adalah Kerajaan Perpaduan. Kalau lain yang dipilih di sini, sudah tentu akan menjadi pembangkang termasuklah di bawah kerajaan negeri ini," katanya lagi.

PRK Simpang Jeram dan Pulai diadakan berikutan kematian menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai, sehari selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pertembungan tiga penjuru akan berlangsung bagi kerusi DUN Simpang Jeram, antara calon PH Nazri Abdul Rahman, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, dan calon bebas S Jeganathan.

Sementara itu, di Pulai, Suhaizan Kaiat dari PH akan berdepan calon PN Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Pada pilihan raya umum ke-15, Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi, memperoleh 64,900 undi, mendahului calon BN Nur Jazlan Mohamed (31,726 undi) dan calon PN Loh Kah Yong (20,677).

Salahuddin turut mempertahankan kerusi Simpang Jeram pada pilihan raya negeri Johor pada Mac tahun lepas dengan meraih 8,749 undi menentang Zarul Salleh dari PN (6,350 undi), Lokman Md Don dari BN (6,062 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 166,653 pengundi berdaftar, 165,799 pengundi biasa, 927 anggota polis dan pasangan, dan 26 pengundi pos luar negara di kawasan Parlimen Pulai.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 pengundi berdaftar, 40,373 pengundi biasa, dan enam pengundi pos luar negara.

Lihat Komen
ADS